HomeUtamaSorok senjata tajam di pinggang, warga asing tanpa dokumen ditahan

Sorok senjata tajam di pinggang, warga asing tanpa dokumen ditahan

Read Time:1 Minute, 10 Second

TAWAU: Perselisihan faham di hadapan sebuah pasar raya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing selepas polis menemukan senjata tajam tersembunyi di pinggang belakangnya.

Suspek berusia 30-an itu turut didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa di Jalan Dunlop, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang apabila sepasukan anggota Rondaan BIT dari Balai Polis Tawau menerima maklumat mengenai perselisihan faham membabitkan dua lelaki.

“Setibanya di lokasi, pihak polis mendapati dua lelaki sedang berselisih faham sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan terhadap lelaki pertama tidak menemui sebarang barang salah, manakala pemeriksaan terhadap lelaki kedua menemukan sebilah senjata tajam menyerupai pisau atau parang pendek berserta sarung kayu yang disembunyikan di bahagian pinggang belakangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut merampas senjata tajam berukuran kira-kira 19 sentimeter bersama sarungnya serta pakaian yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut.

Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Pihak polis kekal tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memiliki atau membawa senjata berbahaya tanpa alasan yang sah.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara. Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Hari Malaysia perkukuh semangat kebersamaan rakyat Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular