KOTA KINABALU: Kerajaan disaran memperkukuh hubungan dengan penggiat seni, atlet dan mahasiswa sebagai rakan strategik dalam menyampaikan dasar serta mendapatkan pandangan masyarakat.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah, berkata ketiga-tiga kelompok berkenaan mempunyai pengaruh luas dan berpotensi menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.
Katanya, BBC bercadang mengadakan kolaborasi santai menerusi forum yang menghimpunkan wakil kerajaan bersama penggiat seni, bintang sukan dan mahasiswa bagi memberi ruang kepada mereka menyampaikan maklum balas serta idea secara terbuka.
“BBC melihat karyawan seni, bintang sukan dan golongan intelektual perlu mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan supaya mereka tidak berasa dipinggirkan.
“Apabila kerajaan kurang mendekati mereka, pelbagai reaksi negatif terhadap isu semasa termasuk masalah elektrik, air dan jalan raya di negeri ini mungkin dilontarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Masiung, ketiga-tiga kelompok itu mempunyai pengaruh dan dinamisme tersendiri dalam membantu menterjemah serta menyebarluaskan dasar kerajaan kepada masyarakat di pelbagai peringkat.
Beliau berkata forum berkenaan juga boleh menjadi platform untuk mendapatkan pandangan yang lebih terbuka daripada ketiga-tiga kelompok itu, termasuk mengenai isu yang merentasi batas politik dan agama.
“Penggiat seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyentuh emosi rakyat menerusi karya seni, muzik, drama, filem dan sastera, sekali gus membantu menyampaikan mesej pembangunan kerajaan.
“Forum ini juga boleh menjadi peluang kepada karyawan seni berinteraksi secara langsung dengan wakil kerajaan, lebih-lebih lagi bidang mereka sering kurang diberi perhatian dalam pembentangan belanjawan,” katanya.
Sehubungan itu, Masiung berharap usaha menyatukan penggiat seni di Sabah dengan kerajaan negeri dapat direalisasikan.
Katanya, platform berkenaan juga membolehkan kerajaan mendengar keluhan industri kreatif, termasuk berkaitan kebajikan artis, hak cipta dan pembiayaan ekosistem seni.
Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut berkata atlet dan bintang sukan turut tidak wajar diketepikan kerana mereka merupakan antara golongan muda yang mampu menjadi penyatu masyarakat merentasi batas geopolitik.
“Jika cadangan forum ini menjadi kenyataan, bintang sukan boleh menjadi platform untuk membincangkan hala tuju sukan tanah air, selain isu pelaburan dalam fasiliti sukan serta perancangan kerjaya selepas bersara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata golongan mahasiswa yang mewakili suara anak muda, celik teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan berilmu juga perlu didekati sebagai generasi pelapis.
Katanya, mahasiswa boleh berperanan sebagai ‘duta’ pendidikan selain membantu menyampaikan mesej kerajaan kepada komuniti setempat dan rakan sebaya.
Masiung optimis golongan intelektual itu turut mampu menghasilkan kandungan kreatif seperti video pendek dan coretan santai yang memberi motivasi kepada golongan muda.
“Mereka juga boleh menyokong ketegasan kerajaan dalam usaha membanteras ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya.



