HomeUtamaUgut bakar kereta abang ipar, lelaki warga asing ditahan

Ugut bakar kereta abang ipar, lelaki warga asing ditahan

Read Time:1 Minute, 33 Second

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencagarkan dokumen kereta milik abang iparnya untuk mendapatkan pinjaman wang.

Suspek berusia 35 tahun itu turut dipercayai membawa kereta berkenaan ke Tawau tanpa kebenaran pemiliknya, selain mengugut mahu membakar kenderaan terbabit sekiranya tidak diberikan pinjaman wang.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai, petang semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat kira-kira jam 2.30 petang, pasukan serbuan pergi ke hadapan sebuah stesen minyak di Bombalai sebelum menahan suspek yang berada di lokasi berkenaan.

“Hasil pertanyaan awal, suspek mengaku terbabit dalam kes yang dilaporkan di daerah Kinabatangan dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Polis turut merampas sebuah Perodua Bezza bersama satu anak kunci kenderaan yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan milik abang ipar suspek dan sebelum ini dipinjamkan kepada adik kandung mangsa yang juga isteri suspek.

“Selepas kematian adik mangsa, suspek dipercayai membawa kenderaan berkenaan ke daerah Tawau tanpa persetujuan mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dimaklumkan bahawa suspek dipercayai mencagar dokumen kereta berkenaan kepada pihak lain di Tawau sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman wang.

“Berikutan itu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang meminta bayaran sebanyak RM2,500 kerana dokumen kereta atas namanya telah dijadikan cagaran bagi pinjaman wang tersebut.

“Suspek juga pernah mengugut akan membakar kereta milik mangsa sekiranya mangsa tidak memberikan pinjaman wang kepadanya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Rosdi menasihatkan orang ramai supaya tidak membenarkan pihak lain menggunakan atau membawa kenderaan milik mereka tanpa kebenaran, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan kenderaan kepada pihak lain.

“Sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman, segera laporkan kepada polis dan jangan mengambil tindakan sendiri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Wang tabung masjid dicuri, lelaki ditahan bantu siasatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular