TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki mencuri kira-kira RM350 wang tabung sebuah masjid di Ladang Kapilit, Batu 8, Kalabakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia 30-an ditahan kira-kira jam 10.45 pagi kelmarin oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan dengan bantuan anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad.
Suspek ditahan di hadapan sebuah bengkel di kawasan Batu 8, Kalabakan, susulan kejadian kecurian yang dilaporkan pada Khamis lalu.
Menurutnya, satu laporan polis dibuat kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu oleh penguat kuasa ladang berhubung kecurian wang tabung masjid di Ladang Kapilit, Kalabakan.
“Kejadian disedari mandor ladang yang juga jawatankuasa masjid membabitkan kehilangan wang tabung masjid berjumlah kira-kira RM350 selepas seorang individu dipercayai memasuki kawasan Masjid yang tidak berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan pengurusan masjid dan premis awam supaya sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan wang tabung serta kawasan premis bagi mengelakkan kejadian kecurian.



