HomeUtamaPBAKK berpotensi jadi platform literasi berprestij di rantau Borneo, Asia Tenggara

PBAKK berpotensi jadi platform literasi berprestij di rantau Borneo, Asia Tenggara

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) berpotensi menjadi platform literasi dan penerbitan berprestij di rantau Borneo serta Asia Tenggara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap penganjuran PBAKK 2026.

Menurutnya, penganjuran PBAKK bukan sekadar menjadi medan untuk menggalakkan budaya membaca, malah turut mencerminkan kebangkitan budaya keilmuan dalam kalangan masyarakat.

“Hari ini merupakan detik yang amat bermakna bukan sahaja menandakan kejayaan penganjuran sebuah pesta buku berskala besar di Borneo, malah ia membawa satu manifestasi kebangkitan budaya keilmuan yang mekar selaras dengan tema PBAKK tahun ini, ‘Ilmu Dijunjung Bangsa Disanjung’.

“Penganjuran PBAKK pada tahun lalu telah melakar sejarah yang cukup membanggakan apabila berjaya merekodkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung dan tahun ini, kita mengorak langkah lebih berani dengan meletakkan sasaran seramai 150,000 pengunjung.

“Kita yakin sasaran ini mampu dicapai berdasarkan minat masyarakat yang amat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutupan PBAKK 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sini, pada Ahad.

Kasim berkata, PBAKK turut memberi manfaat kepada sektor ekonomi setempat menerusi penglibatan industri buku, ekonomi kreatif dan sektor pelancongan pendidikan.

Katanya, penganjuran pesta berkenaan selari dengan aspirasi UMS untuk terus menjadi pemacu ilmu dan rujukan akademik di rantau ini menerusi slogan ‘UMS The Brain of Borneo’.

“PBAKK sebenarnya membawa serampang dua mata apabila selain menggalakkan budaya membaca, pesta ini turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat khususnya dalam industri buku, ekonomi kreatif dan sektor pelancongan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, PBAKK 2026 turut disertai pempamer tempatan dan antarabangsa, termasuk syarikat penerbitan, agensi kerajaan serta pengedar buku dari seluruh negara selain rakan serantau dari Negara Brunei Darussalam.

“Keterlibatan rakan-rakan tempatan dan antarabangsa ini membuktikan bahawa PBAKK mempunyai daya saing sebagai sebuah acara penerbitan serantau yang holistik.

“Penganjuran acara ilmu yang menghimpunkan pencinta buku, penulis, penerbit serta penggiat industri perbukuan daripada pelbagai latar belakang ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa dukungan, kepercayaan dan sokongan padu daripada pelbagai pihak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap jaringan kerjasama dan perkongsian ilmu yang terjalin sepanjang lima hari penganjuran PBAKK 2026 dapat diteruskan dan memberikan impak positif dalam jangka panjang.

Dalam majlis sama, turut berlangsung Anugerah Buku Borneo (ABB) 2026 yang merangkumi enam kategori, antaranya Anugerah Buku Terbaik (Terbitan Sabah, Borneo), Anugerah Penulis Terbaik (Sabah, Borneo), Anugerah Penerbit Terbaik (Sabah, Borneo) serta Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pengarah Penerbit UMS, Profesor Dr. Patricia Matanjun; dan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw.

RELATED ARTICLES
Utama

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang landa beberapa kawasan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular