HomeUtamaPemimpin Sabah, Sarawak zahir takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Pemimpin Sabah, Sarawak zahir takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Read Time:1 Minute, 16 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR : Pemimpin negeri Sabah dan Sarawak menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta keluarga atas pemergian isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hari ini.

Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama dengan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Allahyarham dalam bidang perubatan dan kesihatan masyarakat.

Menerusi hantaran di Facebook, mereka berkata sumbangan Dr Siti Hasmah khususnya dalam penjagaan kesihatan ibu dan anak, serta khidmat kepada masyarakat luar bandar akan terus dikenang.

“Kami turut menyampaikan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta seluruh ahli keluarga dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut,” menurut hantaran itu.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pemergian Dr Siti Hasmah sebagai satu kehilangan besar yang amat dirasai bukan sahaja Dr Mahathir dan ahli keluarga, malah seluruh rakyat Malaysia.

“Allahyarham merupakan seorang tokoh yang disegani dan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia melalui jasa, sumbangan serta dedikasi beliau kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji turut berharap segala jasa dan bakti Allahyarham akan terus dikenang serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Beliau mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Dr Siti Hasmah, mengampuni segala dosa dan kesalahan serta menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Dr Siti Hasmah, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun. Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak. — BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Israel Houghton: Belum ada permohonan rasmi adakan konsert di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular