Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mempunyai peranan penting dalam membantu menyampaikan maklumat mengenai keadaan serta permasalahan yang berlaku di kawasan masing-masing.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kedudukan JKKK yang dekat dengan masyarakat membolehkan pelbagai isu dikenal pasti lebih awal sebelum disampaikan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata, antara perkara yang boleh dilaporkan termasuk isu kebersihan, pencerobohan setinggan, jenayah kecil, kecurian kabel, kerosakan lampu jalan dan kerosakan harta benda kerajaan.

“Terutama sekali isu-isu yang melibatkan kebersihan, melibatkan pencerobohan oleh setinggan dan juga aktiviti-aktiviti yang melibatkan jenayah-jenayah kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK bagi kawasan di bawah tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.
Sabin berkata, DBKK akan meningkatkan interaksi dengan JKKK bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai keperluan serta masalah yang berlaku di kampung.
“DBKK akan bekerjasama dan meningkatkan interaksi kami dengan lebih kerap lagi supaya kita dapat mengetahui keperluan yang diperlukan di kampung tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 100 pengerusi JKKK hadir pada majlis berkenaan, manakala setiap jawatankuasa akan melantik lapan ahli jawatankuasa kecil.
Menurutnya, penglibatan JKKK penting bagi memastikan maklumat daripada masyarakat dapat disampaikan melalui saluran yang sesuai kepada pihak kerajaan.
Sabin berkata, maklumat yang diterima daripada JKKK juga boleh membantu DBKK mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai keadaan setiap kampung sebelum sesuatu tindakan diambil.
Katanya, kerjasama antara JKKK, DBKK, kementerian dan Kerajaan Negeri Sabah akan memastikan isu yang dikenal pasti dapat disalurkan kepada pihak yang sewajarnya untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Sabin berkata, DBKK akan merujuk isu dan permasalahan di kawasan kampung yang berada di luar bidang kuasanya kepada kementerian atau Kerajaan Negeri Sabah untuk tindakan lanjut.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan masyarakat dapat disalurkan kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk menanganinya.
Beliau berkata, DBKK akan terlebih dahulu mengenal pasti bidang kuasa sesuatu isu sebelum menentukan tindakan atau pihak yang perlu dirujuk.
“Yang mana kita perlu selesaikan di peringkat DBKK, kita akan selesaikan. Yang mana kita bawa kepada kementerian, kita bawa kepada kementerian, ataupun kita bawa kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA



