KOTA KINABALU: Satu laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran dakwaan palsu dan berunsur fitnah menerusi platform TikTok yang mengaitkan Datuk Bandar Kota Kinabalu dengan seorang individu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kinabalu Venture.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak pernah melantik individu Bernama Sharinaz Sabin sebagai CEO Kinabalu Venture seperti yang didakwa dalam kandungan tular berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kinabalu Venture bukan anak syarikat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sekali gus menafikan dakwaan yang mengaitkan syarikat berkenaan dengan pentadbiran DBKK.
Menurutnya, laporan polis dibuat bagi membolehkan perkara itu disiasat dan tindakan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Datuk Bandar tidak pernah melantik Sharinaz Sabin sebagai CEO Kinabalu Venture dan Kinabalu Venture juga bukan anak syarikat DBKK,” katanya.
Dakwaan berkenaan turut mengaitkan Kinabalu Venture dengan inisiatif “Jual Kereta Rakyat”.
Sabin berkata, penyebaran maklumat tersebut merupakan perkara serius kerana boleh mengelirukan masyarakat selain menjejaskan reputasi dan integriti dirinya serta keyakinan awam terhadap pentadbiran DBKK.
Dalam pada itu, DBKK turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik atau pengendali akaun yang bertanggungjawab menyebarkan kandungan berkenaan.
Katanya, tindakan itu akan dilaksanakan selepas identiti serta penglibatan pihak terbabit disahkan melalui siasatan pihak berkuasa.
“DBKK memandang serius penyebaran maklumat palsu dan berunsur fitnah yang mengaitkan Datuk Bandar, ahli keluarganya serta DBKK dan akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun yang bertanggungjawab bagi menuntut ganti rugi atau remedi yang wajar setelah identiti serta penglibatan pihak berkenaan disahkan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menerima atau menyebarkan sebarang maklumat berkaitan urusan rasmi DBKK tanpa membuat semakan terlebih dahulu melalui saluran komunikasi rasmi pihak berkuasa tempatan berkenaan.
DBKK turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. – SABAH MEDIA



