HomeUtamaLelaki bebas tuduhan tipu RM108,500 babit lima projek

Lelaki bebas tuduhan tipu RM108,500 babit lima projek

Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan RM108,500 berkaitan beberapa projek di Kinabatangan dan Semporna.

Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali membuat keputusan itu terhadap Abdillah Hamzah, 50, tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Abdillah didakwa menipu mangsa dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa tertuduh mengendalikan beberapa projek di Kinabatangan dan Semporna.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan jalan konkrit ke SMK Bukit Garam, Kinabatangan; menaik taraf sistem perparitan di Taman Perumahan Bukit Permata, Kinabatangan; membaiki jeti terapung di Dataran Lepa-Lepa, Semporna; menaik taraf jalan di kawasan Pekan Dolton, Semporna; serta membaiki rumah di Semporna.

Tertuduh didakwa secara curang mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM108,500 ke dalam sebuah akaun Syarikat.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 23 Jun 2016 hingga 5 Disember 2018 di Maybank cawangan Semporna.

Abdillah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Hafizah Anggu yang menggantikan Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan mengendalikan pendakwaan, manakala Abdillah diwakili peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip.

RELATED ARTICLES
Utama

Remaja didakwa lakukan amang seksual terhadap adik kandung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular