PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain membuat laporan polis susulan penularan video yang memaparkan beliau ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
AKPS dalam kenyataan media pada Khamis memaklumkan, laporan polis itu dibuat berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Menurut agensi itu, siasatan turut meliputi keadaan bagaimana rakaman berkenaan diperoleh dan kemudiannya disebarkan di media sosial.
AKPS menjelaskan video yang tular itu merupakan rakaman sebenar yang dipetik daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA Terminal 1.
Insiden berkenaan berlaku pada 28 September 2026 ketika Mohd Shuhaily menjalankan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Dalam tinjauan itu, Ketua Pengarah AKPS bersama pasukan operasi turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terbabit dalam aktiviti ‘ulat’ di kawasan KLIA.
AKPS berkata operasi itu dilaksanakan susulan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban di KLIA.
Operasi berkenaan merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilaksanakan AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilakukan secara menyeluruh serta konsisten.
Susulan operasi itu, seorang warga asing dikenal pasti dan dibawa ke ruangan bagasi untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
AKPS menegaskan proses pemeriksaan dan temu bual ketika itu hanya membabitkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.
Bagaimanapun, dua individu yang bukan sebahagian daripada pasukan operasi didakwa memasuki ruangan bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai bertugas.
Kedua-dua individu itu kemudian merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS dengan warga asing terbabit menggunakan telefon bimbit masing-masing tanpa kebenaran.
Menurut AKPS, tindakan tersebut menimbulkan provokasi sehingga menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan.
Kedua-dua individu terbabit kemudiannya membuat laporan polis, masing-masing sehari dan dua hari selepas kejadian, sebelum klip video berkenaan tersebar di media sosial.
AKPS berkata penyebaran rakaman tersebut dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Ketua Pengarah AKPS serta agensi itu.
Bagaimanapun, AKPS menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan menegaskan pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.
“AKPS akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut diminta supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.



