HomeUtamaIsu kurang doktor: MMA cadang insentif khas tarik doktor berkhidmat di Sabah

Isu kurang doktor: MMA cadang insentif khas tarik doktor berkhidmat di Sabah

Read Time:3 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah disaran mempertimbangkan insentif tambahan khusus termasuk bantuan tempat tinggal dan pengangkutan bagi menarik lebih ramai doktor berkhidmat serta kekal di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, insentif bersasar juga boleh dipertimbangkan bagi petugas kesihatan yang berkhidmat di daerah yang berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja.

Katanya, walaupun pengambilan, pelantikan dan penempatan pegawai perubatan berada di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Sabah boleh menjadi rakan kerjasama penting dalam menjadikan negeri ini lokasi yang lebih menarik untuk doktor berkhidmat dan terus kekal.

“Matlamatnya mudah iaitu menjadikan Sabah berbaloi untuk dipilih oleh doktor sebagai tempat berkhidmat dan berbaloi untuk mereka terus kekal di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain insentif, Dr Brandon berkata, penyediaan tempat tinggal yang selamat dan mencukupi turut perlu diberi perhatian, khususnya di daerah luar bandar.

Katanya, MMA Sabah sebelum ini mengetengahkan masalah doktor yang berkhidmat di luar bandar Sabah dan berdepan kesukaran mendapatkan kediaman berhampiran fasiliti tempat mereka bertugas sehingga terpaksa melakukan perjalanan jauh setiap hari.

Sesetengah kuarters kerajaan sedia ada pula sudah usang atau tidak sesuai didiami.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan KKM dan agensi berkaitan untuk mengenal pasti fasiliti yang tidak mempunyai tempat tinggal kakitangan mencukupi, mempercepatkan pembaikan dan naik taraf kuarters sedia ada serta menambah kapasiti penginapan di kawasan yang tidak mempunyai rumah sewa sesuai.

“Tempat tinggal untuk petugas kesihatan perlu dianggap sebagai infrastruktur kesihatan yang penting, bukannya manfaat kebajikan pilihan,” katanya.

Menurut Dr Brandon, usaha menarik dan mengekalkan doktor di luar bandar juga berkait rapat dengan keadaan infrastruktur asas termasuk bekalan air dan elektrik, akses jalan raya, capaian internet serta pengangkutan selamat.

Katanya, kemudahan berkenaan memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian doktor dan petugas kesihatan, selain memberi manfaat kepada komuniti yang mereka layani.

Dalam jangka panjang, katanya, Sabah juga perlu membangunkan lebih ramai tenaga kerja kesihatan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Kerajaan Negeri, katanya, perlu terus memperkukuh biasiswa, bantuan kewangan dan program lain yang menyokong rakyat Sabah mengikuti pengajian perubatan serta latihan kepakaran, selain meneliti mekanisme sesuai untuk menggalakkan mereka kembali berkhidmat di negeri ini.

Doktor yang memilih untuk membina kerjaya di Sabah juga perlu mempunyai peluang yang jelas untuk mengikuti latihan pascasiswazah dan pembangunan profesional.

MMA Sabah turut mencadangkan satu platform berstruktur membabitkan Kerajaan Sabah, KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pihak berkepentingan berkaitan bagi menilai kekurangan tenaga kerja secara berkala serta mengenal pasti fasiliti yang berdepan risiko paling tinggi.

“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga sesebuah hospital mengalami kekurangan kakitangan yang kritikal sebelum bertindak,” katanya.

Kerajaan Negeri juga, menurut Dr Brandon, boleh meneroka kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh bagi menyokong perkhidmatan yang berdepan kekangan tenaga kerja serius.

Dalam pada itu,  Dr Brandon  berkata MMA Sabah menyokong gesaan Presiden MMA, Dr Sivanaesan Letchumanan supaya Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan dikembalikan dan keseluruhan struktur insentif bagi doktor yang berkhidmat di Malaysia Timur dikaji semula.

MMA Sabah turut menyokong langkah memperkukuh insentif khusus bagi perkhidmatan di Sabah dan Sarawak, menambah baik bantuan perpindahan serta memberikan kepastian lebih jelas kepada doktor mengenai tempoh penempatan di Malaysia Timur.

Cadangan lain termasuk menambah baik tempat tinggal kakitangan dan infrastruktur asas serta mengiktiraf perkhidmatan di kawasan kekurangan tenaga kerja melalui peluang kerjaya dan pengajian pascasiswazah.

MMA Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan pertimbangan serius terhadap langkah berkenaan, khususnya menjelang Belanjawan 2027.

Dr Brandon berkata, pelantikan tetap penting, namun keadaan semasa menunjukkan pelantikan itu sahaja tidak mencukupi jika doktor tidak bersedia menerima penempatan di Sabah.

“Jawatan yang wujud dalam carta organisasi tidak membawa banyak makna sekiranya tiada sesiapa yang sanggup mengisinya.

“Jawatan tetap yang tidak diterima oleh mana-mana doktor tidak dapat merawat pesakit. Perjawatan yang hanya wujud di atas kertas tidak dapat mengendalikan sebuah hospital.

“Sabah memerlukan doktor yang benar-benar berada di lapangan, mendapat sokongan yang mencukupi, bekerja dalam keadaan yang selamat dan munasabah, diberikan peluang untuk maju dalam kerjaya dan, yang paling penting, diberikan sebab untuk terus kekal berkhidmat di sini,” katanya.

Terdahulu, Dr Brandon berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh MMA Sabah mengenai penempatan di hospital, seramai 138 pegawai perubatan dari luar Sabah dijangka melapor diri di hospital di seluruh negeri, namun hanya 47 orang sahaja yang melapor diri.

LINK BERITA TERDAHULU:

RELATED ARTICLES
Utama

Remaja didakwa lakukan amang seksual terhadap adik kandung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular