KOTA KINABALU: Dua kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian di hadapan Masjid Bandaran Kota Kinabalu, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.27 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian pada jam 11.35 malam.
“Pemeriksaan mendapati pokok tumbang menghempap dua kenderaan, masing-masing Perodua Myvi dan Perodua Viva. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa terperangkap dalam kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok menggunakan gergaji berantai dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sabah Electricity tiba di lokasi dan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik bagi memastikan kerja-kerja pengalihan pokok dapat dijalankan dengan selamat.
“Bagaimanapun, kerja-kerja memotong pokok yang menghempap Perodua Viva tidak dapat diteruskan selepas pasukan mendapati terdapat wayar elektrik yang dipercayai bukan milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. terkena pada kenderaan berkenaan.
“Perkara itu telah dimaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang laluan serta menghempap Perodua Myvi selesai pada jam 1.56 pagi.
Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan.



