KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menyambut baik usaha institusi itu memperkukuh peranannya dalam pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), termasuk cadangan menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Presiden Persatuan Alumni KTYS, Datuk Pakhruddin Bian berkata, usaha berkenaan merupakan perkembangan positif dalam memperluas akses pendidikan berasaskan teknologi tinggi kepada anak-anak Sabah.
Menurutnya, sekiranya direalisasikan, program berkenaan berpotensi menjadi antara inisiatif penting KTYS dalam memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang memberi penekanan kepada bidang STEM.
“Alumni KTYS menyambut baik perbincangan awal ini dan melihatnya sebagai satu langkah ke hadapan dalam menyediakan peluang pendidikan dalam bidang kecerdasan buatan kepada generasi muda Sabah.
“Bidang AI mempunyai potensi besar dan kita perlu memastikan anak-anak Sabah turut mendapat peluang mengikuti pengajian serta membina kemahiran dalam bidang teknologi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkara yang dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Datuk Tah Niah Jaman dalam ucapan pada Majlis Konvokesyen KTYS Ke-29, Khamis lalu.
Dalam pada itu, Pakhruddin turut menyambut baik usaha KTYS memperluas akses pendidikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menerusi Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM).
Katanya, program berkenaan mencerminkan komitmen KTYS dalam membantu pelajar Tingkatan Lima daripada golongan B40 dan keluarga yang tergolong dalam kategori e-Kasih mendapatkan bimbingan tambahan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Program GeCerSPM yang dilaksanakan sejak 2025 membabitkan tiga sekolah menengah di Kota Kinabalu, sebelum diperluaskan tahun ini ke dua daerah lagi, iaitu Tuaran dan Keningau, dengan penyertaan kira-kira 300 pelajar.
Pakhruddin berkata, peluasan program berkenaan membuktikan peranan KTYS bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan di peringkat pengajian tinggi, malah turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah.
Beliau berkata, pendekatan itu juga penting dalam membina asas pendidikan STEM lebih kukuh dalam kalangan pelajar, selain membuka laluan kepada mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan teknologi dan kejuruteraan pada masa depan.
“Persatuan Alumni KTYS sentiasa bersedia untuk menyokong usaha institusi ini dalam memperkukuh pendidikan, pembangunan modal insan dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Sabah.
“Kita berharap usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan supaya lebih ramai pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, mendapat manfaat,” katanya.



