HomeUtamaJawatankuasa khas dicadang selaras usaha tangani banjir di Sepanggar

Jawatankuasa khas dicadang selaras usaha tangani banjir di Sepanggar

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas dicadang untuk ditubuhkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan penyelenggaraan sistem saliran susulan kejadian banjir kilat yang berulang di beberapa kawasan khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, berkata jawatankuasa berkenaan antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi menyelaras usaha agensi berkaitan menangani kejadian banjir, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.

Katanya, pemantauan awal mendapati kejadian banjir kilat sering berlaku di beberapa kawasan secara berselang-seli, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Inanam dan Darau.

“Pemantauan awal saya, semua agensi perlu sentiasa mengambil perhatian supaya penyelenggaraan perlu dibuat secara berkala.

mustapha sakmud

“Banyak juga yang melibatkan kawasan pembinaan, pembinaan jalan dan infrastruktur lain,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Pekan Menggatal, di sini, pada Sabtu.

Mustapha berkata, kejadian banjir kilat minggu lalu lebih tertumpu di kawasan DUN Karambunai, manakala kejadian kali ini turut melibatkan kawasan DUN Inanam dan Darau yang sememangnya sering berdepan masalah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata penyelenggaraan parit dan sistem saliran di kawasan berisiko perlu diberi perhatian secara berterusan dan tidak hanya dilakukan selepas berlaku banjir.

“Saya akan cadangkan kepada Datuk Bandar supaya ada jawatankuasa khas diwujudkan. Kalau sudah ada, alhamdulillah, tetapi yang ini khusus untuk bagaimana kita bersedia menangani banjir ini.

“Terutamanya bagaimana kita menyelenggara parit-parit di kawasan yang kita sudah kenal pasti sebagai hotspot banjir,” katanya.

Menurutnya, penyelarasan lebih menyeluruh antara agensi diperlukan bagi mengurangkan risiko banjir kilat serta kejadian tanah runtuh, terutama ketika hujan lebat.

Beliau berharap usaha berkenaan dapat membantu meminimumkan kesan banjir kepada penduduk di kawasan terjejas serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi fenomena cuaca yang menyebabkan hujan lebat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah harap bayaran RM900 juta dilunaskan tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular