KOTA KINABALU : Seramai 182 pegawai dan kakitangan pendidikan di daerah Papar menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kerja, integriti dan sumbangan mereka kepada organisasi.
Pengiktirafan itu disampaikan sempena Majlis Legasi Gemilang Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir, berkata penghargaan berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap komitmen warga pendidikan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata, kecemerlangan dalam sektor pendidikan tidak terhasil melalui usaha seorang individu, sebaliknya dibina secara berterusan melalui kepimpinan yang berwibawa, pengajaran yang berdedikasi, pengurusan yang cekap serta sokongan seluruh warga sekolah.

“Kepada 182 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pengiktirafan yang diterima.
“Semoga setiap penghargaan ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga pendidikan Daerah Papar untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurut beliau, Majlis Legasi Gemilang bukan sekadar acara penyampaian anugerah, sebaliknya menjadi ruang untuk mengenang jasa, menghargai kepimpinan serta mengiktiraf sumbangan warga pendidikan yang telah memberikan khidmat terbaik kepada dunia pendidikan.
Katanya, majlis itu turut meraikan 104 pegawai, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang menamatkan perkhidmatan melalui persaraan menerusi Majlis Jasamu Dikenang 2026.
Selain itu, katanya, Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2026 turut memberikan pengiktirafan kepada kepimpinan dan dedikasi warga sekolah, termasuk Tokoh Guru, Tokoh Kepimpinan, pengetua, guru besar dan guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Pengiran Saifuddin berkata, warga pendidik merupakan antara tulang belakang kepada kejayaan agenda pendidikan kerana mereka berada di barisan hadapan dalam memastikan dasar serta bantuan pendidikan sampai kepada murid dan memberikan manfaat yang sewajarnya.
“Guru, pengetua, guru besar, anggota kumpulan pelaksana serta seluruh warga sekolah merupakan mereka yang berada di barisan hadapan dalam memastikan setiap dasar dan bantuan pendidikan akhirnya sampai dan memberi manfaat kepada anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha memperkukuh akses pendidikan yang saksama bagi anak-anak di bandar, luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih baik perlu berjalan seiring dengan usaha meningkatkan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid.
Dalam hubungan itu, beliau berkata warga pendidikan di Papar perlu terus memberikan perhatian kepada penguasaan literasi, numerasi, STEM serta kemahiran berfikir aras tinggi.
Beliau turut berharap penerima APC menjadikan pengiktirafan itu sebagai dorongan untuk terus meningkatkan prestasi, integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan.
“Anugerah ini adalah pengakuan atas prestasi yang telah dicapai, tetapi ia bukanlah noktah. Ia harus menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh. Kekalkan momentum kecemerlangan, integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan,” katanya.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada pengurusan PPD Papar, kepimpinan sekolah, guru, AKP serta komuniti setempat atas usaha kolektif dalam memperkukuh agenda pendidikan di daerah berkenaan. – SABAH MEDIA



