KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi menyokong pembangunan infrastruktur di Kampung Rampayan, Manggatal menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, peruntukan berkenaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membolehkan lima skop pembangunan fizikal dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut melibatkan kawasan tapak seluas hampir satu ekar dan dilaksanakan mengikut prosedur serta tatakelola yang ditetapkan melalui saluran yang sewajarnya.
“Bagi memastikan pembinaan lima prasarana di kawasan tapak seluas hampir satu ekar dilaksanakan, semua prosedur dan tatakelola yang ditetapkan telah dipatuhi melalui saluran yang sewajarnya.
“Kesemua lima skop pembangunan fizikal yang dirancang berjaya disiapkan merangkumi pembinaan pintu gerbang kampung, dewan terbuka, pusat komuniti, pemasangan lampu solar serta pembinaan pondok nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dan menyempurnakan penyerahan prasarana Program Kampung Angkat Madani di Kampung Rampayan.
Dalam pada itu, Kasim berkata, penyiapan projek fizikal berkenaan menjadi asas kepada usaha UMS untuk meneruskan kerjasama dengan komuniti setempat, khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan generasi muda di kampung berkenaan mendapat peluang untuk meningkatkan kemahiran dan tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan serta ekonomi.
“Apalagi yang kita boleh buat di kampung ini supaya anak-anak kita, generasi akan datang tidak ketinggalan dalam semua aspek iaitu pendidikan dan keusahawanan.
“Jadi mungkin juga kita mahu latih anak-anak kampung menjadi usahawan. Mungkin kita ada kursus-kursus keusahawanan di sini yang dianjurkan oleh UMS,” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama berterusan antara UMS dan komuniti Kampung Rampayan berpotensi diperluas menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, pendidikan dan keusahawanan pada masa akan datang.
Perasmian dan penyerahan kemudahan tersebut mencerminkan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam usaha memperkukuh pembangunan setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Kasim berharap kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat berterusan kepada penduduk Kampung Rampayan, selain menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi komuniti setempat.
Beliau turut berharap UMS dapat terus memainkan peranan sebagai peneraju Kampung Angkat Madani melalui penglibatan akademik, kepakaran serta program kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.



