HomeUtamaLegenda dan warisan Sabah diangkat menerusi ROK 2026

Legenda dan warisan Sabah diangkat menerusi ROK 2026

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Pelbagai legenda, cerita rakyat dan warisan masyarakat Sabah diangkat menerusi Program Ritma Kinabalu @ Rhythms of Kinabalu (ROK) 2026 dalam usaha memperkenalkan khazanah budaya negeri itu kepada khalayak lebih luas.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, persembahan yang diketengahkan pada edisi ke-12 ROK memberi penekanan kepada identiti serta kepelbagaian budaya Sabah.

Katanya, pendekatan melalui persembahan seni membolehkan kisah dan warisan masyarakat Sabah diketengahkan dalam bentuk yang lebih menarik serta mudah dihayati oleh penonton.

“Sabah sememangnya kaya dengan pelbagai etnik dan warisan budaya. Oleh itu, kita tampilkan kekayaan tersebut dalam bentuk persembahan untuk masyarakat tempatan dan juga pelancong antarabangsa.

“Antara yang diketengahkan kali ini ialah legenda Aki Nabalu, kisah pahlawan etnik Murut, penceritaan Huminodun serta kebudayaan Ratu Lepa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program ROK 2026 di Padang Merdeka, di sini.

Amran berkata, pengisian berasaskan identiti budaya itu turut mempunyai nilai penting dalam memupuk kefahaman terhadap kepelbagaian masyarakat Sabah.

Menurutnya, kesenian bukan sekadar medium hiburan, sebaliknya boleh menjadi wadah untuk memperkenalkan sejarah, tradisi dan warisan sesebuah masyarakat.

“Pengisian berteraskan identiti budaya ini bukan sahaja menjadi lambang perpaduan menerusi kesenian, malah menjadi platform untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) serta Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sabah menjadi negeri ke-10 yang dipilih sebagai lokasi penganjuran program Pelancongan Budaya JKKN bagi tahun ini.

Katanya, siri program berkenaan akan diteruskan ke beberapa negeri lain selepas penganjuran di Sabah.

“Selepas ini, kita akan ada beberapa lagi siri persembahan Program Pelancongan Budaya, antaranya di Pahang, Kuala Lumpur dan Sarawak sebelum menutup tirai penganjuran program bagi tahun 2026,” katanya.

Mengulas mengenai TMM2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027, Amran berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan diperkukuh bagi memastikan usaha merancakkan sektor pelancongan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Katanya, program berasaskan kebudayaan seperti ROK turut boleh menjadi antara medium promosi bagi menarik lebih ramai pelancong untuk mengenali Sabah dari sudut seni dan warisannya.

“TMM2026 juga bakal diteruskan pada tahun hadapan dan Sabah pula akan menganjurkan Tahun Melawat Sabah 2027.

“Justeru, ROK merupakan antara pengisian yang kita bawakan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta JKKN untuk mempromosikan program berkenaan,” katanya.

ROK 2026 dirasmikan oleh wakil Ketua Menteri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah mahu pelancong tinggal lebih lama, terokai destinasi luar lokasi popular...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular