KUALA LUMPUR: Pelancong dan pelawat yang berkunjung ke Sabah digalakkan tinggal lebih lama serta meneroka destinasi di luar lokasi pelancongan popular bagi memastikan manfaat sektor berkenaan dapat dinikmati lebih banyak komuniti di seluruh negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk memperluaskan pengalaman pelancong menerusi pengenalan lebih banyak destinasi, kebudayaan dan pengalaman berasaskan komuniti.
“Kita mahu pelawat tinggal lebih lama, meneroka lebih jauh dan mengenali lebih banyak destinasi di Sabah.
“Selain destinasi yang sudah terkenal, terdapat pelbagai komuniti, budaya dan pengalaman di seluruh negeri yang mempunyai keunikan serta kisah tersendiri untuk ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan International Tourism, Arts and Culture Exhibition and Conference 2026 (INTAC’26) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di sini, semalam.
Jafry berkata, usaha memperluaskan sektor pelancongan ke destinasi baharu memerlukan kerjasama lebih erat dengan pemain industri, khususnya dalam pembangunan itinerari baharu serta pengukuhan kerjasama dengan pengusaha pelancongan dan komuniti tempatan.
“Banyak peluang untuk membangunkan itinerari baharu dan memperkenalkan lebih banyak destinasi di Sabah kepada pelancong.
“Di sinilah kerjasama dengan industri amat penting. Kita mahu pertumbuhan sektor pelancongan mewujudkan peluang yang bermakna kepada rakyat yang menjadikan Sabah sebagai tempat tinggal mereka,” katanya.
Menurutnya, manfaat sektor pelancongan perlu diperluaskan kepada seluruh ekosistem industri, merangkumi pengusaha pelancongan, pemandu pelancong, penyedia penginapan dan pengangkutan, restoran, penggiat seni, pengamal kebudayaan serta usahawan tempatan.
“Dalam setiap peringkat perjalanan seseorang pelawat, rakyat Sabah adalah sebahagian daripada pengalaman itu.
“Apabila pelancong tinggal lebih lama dan meneroka lebih banyak tempat, peluang yang diwujudkan melalui sektor pelancongan juga dapat dinikmati lebih banyak perniagaan dan komuniti,” katanya.
Pada masa sama, Jafry menegaskan usaha memperluaskan sektor pelancongan tidak boleh mengorbankan alam sekitar dan warisan budaya Sabah.
“Aset semula jadi dan budaya kita adalah perkara yang menjadikan Sabah unik. Apabila sektor pelancongan berkembang, kita mempunyai tanggungjawab untuk melindunginya supaya generasi akan datang terus dapat menikmatinya dan berbangga dengannya.
“Pertumbuhan dan pemuliharaan mesti bergerak seiring,” katanya.
Beliau berkata, platform seperti INTAC penting bagi Sabah untuk membina jaringan baharu dalam industri, bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.
INTAC’26 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di KLCC merupakan edisi kedua dan menghimpunkan 154 pempamer dari 35 negara dalam sektor pelancongan, seni dan kebudayaan.
Sabah menyertai INTAC’26 sebagai pempamer dan rakan strategik, selain mengetengahkan produk pelancongan serta kebudayaannya dan berinteraksi dengan pemegang taruh industri pelancongan serta rakan berpotensi sepanjang acara tiga hari itu.
Majlis penutupan turut menampilkan Explore Sabah Special Preview yang mengetengahkan pelbagai tarikan pelancongan, kebudayaan dan khazanah alam semula jadi Sabah.
Jafry berkata, Sabah akan terus bekerjasama dengan rakan industri dan komuniti bagi memperkukuh kualiti serta kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan kepada pelawat.
“Matlamat kita bukan sekadar membawa lebih ramai orang ke Sabah. Kita mahu mereka mengenali lebih banyak tentang Sabah, tinggal lebih lama dan memastikan sektor pelancongan mewujudkan nilai yang berkekalan kepada rakyat kita,” katanya.



