HomeUtamaUiTM Tawau perlu dipertahankan, bukan ditutup – Armizan

UiTM Tawau perlu dipertahankan, bukan ditutup – Armizan

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Operasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Tawau perlu dipertahankan sebagai kemudahan pendidikan tinggi penting untuk masyarakat di Pantai Timur Sabah, meskipun proses rasionalisasi kampus perlu dilaksanakan.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebarang penilaian terhadap kampus berkenaan tidak seharusnya hanya berasaskan jumlah kemasukan pelajar semasa, sebaliknya perlu mengambil kira tanggungjawab sosial kerajaan menyediakan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat setempat.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata pendirian itu selari dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi pada 11 November lalu bahawa proses rasionalisasi UiTM tidak akan melibatkan penutupan kampus.

Katanya, proses rasionalisasi yang sedang dilaksanakan UiTM melibatkan semua kampus dan bertujuan menilai aspek jumlah pelajar, kemudahan serta penawaran kursus mengikut keperluan semasa.

“Kita berpegang kepada komitmen Menteri Pendidikan Tinggi bahawa proses rasionalisasi itu tidak akan melibatkan penutupan kampus.

“Pada masa sama, kita mencadangkan supaya UiTM Tawau dipertahankan dalam apa juga keadaan. Walaupun terdapat isu berkaitan jumlah pelajar dan kemasukan, saya fikir pelbagai kaedah boleh dilaksanakan untuk menanganinya,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Armizan berkata, kepentingan UiTM Tawau perlu dilihat dari sudut akses pendidikan tinggi kepada penduduk Pantai Timur Sabah, khususnya pelajar yang berdepan kos tinggi sekiranya terpaksa melanjutkan pengajian di Kota Kinabalu atau Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, pengekalan kampus itu juga memerlukan penelitian terhadap kursus yang ditawarkan supaya bersesuaian dengan keperluan pendidikan dan potensi pelajar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi mengenal pasti pendekatan yang boleh meningkatkan kemasukan pelajar serta memperluas pilihan program pengajian di UiTM Tawau.

Sehubungan itu, beliau akan bersama-sama ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai rasionalisasi berkenaan, termasuk isu yang melibatkan operasi kampus UiTM Tawau.

“Kita mahu mendapatkan maklumat sebenar daripada KPT dan melihat bagaimana kita boleh berbincang bersama kerajaan negeri Sabah untuk meningkatkan kemasukan pelajar serta mengenal pasti kursus yang sesuai ditawarkan.

“Saya fikir ada keperluan untuk kampus ini dikekalkan dan perkara berbangkit boleh ditangani melalui kerjasama semua pihak,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Avokado Sabah antara produk disasar daftar Petunjuk Geografi 2027 – Armizan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular