KOTA KINABALU: Pendaki Gunung Kinabalu dilarang untuk menggunakan mana-mana laluan yang tidak diiktiraf atau tidak mendapat kebenaran daripada Taman-Taman Sabah (TTS) bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, TTS selaku pihak yang diamanahkan untuk menjaga kawasan Gunung Kinabalu bertanggungjawab memastikan keselamatan pendaki yang menjalankan aktiviti pendakian di kawasan berkenaan.
Menurutnya, penggunaan laluan tidak rasmi boleh mendatangkan risiko kepada pendaki kerana trek berkenaan belum melalui proses penelitian dan pengiktirafan pihak berkuasa.
“Memang selama ini kita tidak benarkan pendaki menggunakan mana-mana laluan yang tidak diiktiraf ataupun tidak dibenarkan oleh pihak TTS.
“TTS selaku penjaga yang diamanahkan sudah pasti bertanggungjawab soal keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penganjuran Climbathon Gunung Kinabalu Antarabangsa ke-33 di pejabatnya di sini.
Jafry berkata, kerajaan bimbang penggunaan trek yang tidak rasmi boleh menjejaskan keselamatan pendaki, terutama sekiranya laluan tersebut tidak mempunyai aspek kawalan dan pemantauan yang sewajarnya.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian susulan isu seorang pendaki yang sebelum ini menggunakan laluan selain laluan rasmi sehingga dikenakan tindakan.
“Kita khuatir juga kalau gunakan trek-trek yang tidak rasmi akan menjejaskan keselamatan para pendaki,” katanya.
Dalam pada itu, Jafry mengesahkan laluan yang digunakan pendaki berkenaan bersama komuniti tempatan masih belum diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, kerajaan sememangnya sedang melihat potensi laluan baharu di Gunung Kinabalu, termasuk kawasan yang sesuai untuk diterokai, namun sebarang keputusan untuk mengiktiraf atau membuka laluan baharu belum dibuat.
“Memang sudah ada perancangan, tetapi belum lagi. Kita mahu pastikan dari segi keselamatan itu sangat penting,” katanya.
Beliau berkata, penelitian terhadap laluan baharu turut mengambil kira manfaat kepada penduduk sekitar dan rakyat Sabah, selain potensi meningkatkan aktiviti pelancongan.
Jafry menegaskan, selagi sesuatu laluan belum mendapat pengiktirafan atau kebenaran TTS, pendaki perlu menggunakan laluan rasmi yang ditetapkan bagi mengelakkan risiko keselamatan.
Pada masa sama, kerajaan akan terus meneliti potensi laluan baharu Gunung Kinabalu sebelum sebarang keputusan dibuat.



