KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meningkatkan kemudahan di Kompleks Sukan Sipitang dan Kompleks Sukan Beaufort bagi memenuhi keperluan pembangunan sukan serta memberi lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk beriadah.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata kemudahan sukan yang lengkap dan berkualiti amat penting dalam usaha mencungkil serta mengembangkan bakat atlet, khususnya dalam kalangan generasi muda di luar bandar.
Berucap ketika menyokong Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat pada Selasa, beliau berkata pembangunan sukan tidak seharusnya hanya tertumpu di bandar-bandar besar.
“Kalau kita benar-benar mahu melahirkan juara, kita mesti membina gelanggang di kampung, menyediakan padang di daerah dan membuka ruang kepada anak-anak di luar bandar.
“Juara tidak semestinya lahir di stadium besar, kadang-kadang juara bermula di gelanggang kecil sebuah kampung nun jauh terpencil,” katanya.
Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata Sipitang merupakan antara daerah yang berjaya melahirkan atlet dan tokoh sukan yang mengharumkan nama Sabah serta negara.
Antaranya termasuk pemain bola sepak Andrew Laban, Ronny Harun dan Mafry Balang.
Katanya, bakat sukan dari Sipitang terus berkembang apabila atlet kelahiran daerah itu, Gerfan Nigel Frank, meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dalam acara lompat bergalah lelaki dengan catatan 4.55 meter.
Menurutnya, Sipitang turut mempunyai wakil yang mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila pemanah tradisional, Ismail Jumat, meraih pingat gangsa untuk kontinjen Malaysia pada Kejohanan Terbuka Memanah Tradisional Eropah (ETO) di Jerman pada 2023.
Pada kejohanan sama, seorang lagi pemanah dari Sipitang, Rohayati Tarip @ Tariff, menduduki tempat keempat.
Sehubungan itu, Matbali berkata kemudahan di Kompleks Sukan Sipitang perlu dipertingkatkan memandangkan ia menjadi antara ruang utama bagi penduduk setempat menjalankan aktiviti sukan, riadah dan program komuniti.
Beliau pada masa sama menyarankan supaya lebih banyak kemudahan sukan disediakan di kampung-kampung bagi membolehkan generasi muda mengasah bakat masing-masing tanpa perlu bergantung kepada kemudahan di kawasan bandar.
Bagi Kompleks Sukan Beaufort pula, beliau berkata fasiliti sedia ada juga perlu dinaik taraf dan ditambah bagi memenuhi keperluan masyarakat serta atlet di daerah berkenaan.
Katanya, kompleks itu kini mempunyai kemudahan asas seperti trek larian, padang bola sepak dan gelanggang terbuka yang boleh digunakan untuk aktiviti bola tampar, bola keranjang serta futsal.
“Adalah dicadangkan supaya kementerian menambah kemudahan di kompleks ini seperti dewan permainan, padang hoki, lawn bowl, kolam renang dan lampu limpah padang bola sepak,” katanya.
Sementara itu, menyentuh Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026, Matbali berkata pindaan berkenaan amat bertepatan dengan perkembangan serta keperluan semasa sektor sukan negara.
Katanya, aspek tadbir urus dan pemantauan badan sukan juga perlu diperkukuh bagi memastikan setiap organisasi sukan beroperasi berlandaskan perlembagaan, integriti dan akauntabiliti.
“Ia memastikan setiap badan sukan bergerak dengan perlembagaan, integriti, akauntabiliti dan kepentingan atlet sebagai keutamaan,” katanya.



