Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia sangat menyayangi Zara yang merupakan satu-satunya anak dan harapannya.
Noraidah Lamat berkata, dia dan Zara amat rapat dan sentiasa bersama kecuali ketika anaknya berada di sekolah atau apabila dia menghadiri kursus yang tidak membenarkannya membawa anak.
“Zara dan saya amat rapat. Saya sangat menyayanginya kerana Zara satu-satunya anak dan harapan saya,” katanya ketika membaca pernyataan saksi selama hampir 45 minit di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut Noraidah, Zara seorang yang suka bercerita dan sejak kecil sering berkongsi dengannya mengenai sekolah, pertandingan, rakan-rakan, guru dan ustazah.
Katanya, apabila mempunyai masalah, Zara biasanya meluahkan perkara itu kepadanya dan dia akan memberikan kata-kata semangat serta motivasi kepada anaknya.
Noraidah berkata, Zara juga menunjukkan kasih sayangnya dengan bermanja, bergurau, memeluk dan menciumnya selain kerap membuat kad untuknya termasuk kad hari jadi dan kad bertulis “Zara sayang mama”.
Katanya, dia juga menunjukkan kasih sayang dan perhatian kepada Zara dengan mendukung anaknya sehingga Darjah Empat.
Apabila berusia 10 tahun, Zara tidak lagi mahu didukung tetapi masih suka dipeluk dan dicium.
Noraidah berkata, ketika Zara berusia lima tahun, mereka mencipta ungkapan “Sayang Cinta Rindu, Muahh I Love You” yang akan dilafazkan setiap kali dia menghantar Zara ke sekolah.
Ungkapan itu terus dilafazkan sehingga Zara bersekolah menengah, termasuk ketika mereka berbual melalui telefon.
Noraidah berkata, seperti ibu dan anak yang lain, ada kalanya dia menegur atau memarahi Zara apabila melakukan kesalahan dengan tujuan mendidik dan mendisiplinkannya, bukan untuk menyakitinya.
“Seingat saya apabila Zara merajuk apa yang biasanya berlaku selepas itu ialah dia mendiamkan diri dan sering menulis di dalam buku. Namun demikian, Zara merajuk tidak lama. Dia akan bercakap dengan saya semula seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.
Noraidah berkata, sepanjang membesarkan Zara, anaknya itu sering meluahkan perasaannya melalui aktiviti merakam video, bergurau, berpantun dua kerat, melukis, mewarna, mencipta kraftangan, menyanyi, bermain mainan dan meluangkan masa dengan haiwan peliharaan seperti kucing, ikan dan kura-kura.
“Apabila Zara gembira dia akan bercerita, menyanyi, menulis, bergambar, merekod video dan bergurau. Apabila sedih pula, dia akan berdiam diri seketika sambil menulis di buku dan apabila mempunyai masalah dia biasanya meluahkan kepada saya.
“Saya akan memberinya kata-kata semangat dan motivasi diri,” katanya.
Tambahnya lagi, Zara yang dikenalinya ialah seorang anak yang ceria, berani, petah bercakap dan suka bercerita, penyayang terhadap keluarga dan haiwan peliharaannya, aktif di sekolah, bercita-cita tinggi dan mempunyai ramai kawan.
“Sebelum kejadian, Zara tidak pernah menunjukkan tekanan. Walaupun pelbagai kejadian ejekan dan buli di asrama, apabila saya menasihati dan memberikan kata-kata motivasi, Zara akan kembali bersemangat,” katanya.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberi nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes itu masih berjalan.



