Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak bersetuju kes kematian anaknya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death Report, SDR) oleh polis.
Noraidah Lamat menyatakan pendirian itu ketika disoal oleh peguam Datuk Ram Singh dalam prosiding inkues kematian Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
“Saya tidak setuju. Sebab itu saya bawa kes ini ke mahkamah,” katanya.
Terdahulu, peguam bela turut meminta Noraidah menyatakan sama ada beliau bersetuju bahawa kematian Zara bukan kes bunuh.
Bagaimanapun, Noraidah tidak memberikan jawapan secara langsung terhadap soalan itu, sebaliknya menegaskan keyakinannya bahawa anaknya tidak akan bertindak terjun dari bangunan asrama.
“Saya yakin Zara tidak akan buat begitu. Saya harap keadilan untuk Zara akan ditegakkan,” katanya.
Ketika ditanya mengapa Zara mungkin membuat keputusan untuk terjun dari tingkat tiga, Noraidah berkata beliau tidak mengetahui sebabnya kerana anaknya tidak pernah menunjukkan atau menceritakan perkara sedemikian kepadanya.
“Saya tidak tahu kerana sebelum ini, Zara tidak pernah menunjukkan atau bercerita kepada saya cerita-cerita seperti itu,” katanya.
Dalam soal balas lanjut, peguam bela turut meminta Noraidah bersetuju bahawa tiada individu menolak Zara sehingga jatuh ke tingkat bawah.
Namun, Noraidah berkata beliau tidak dapat memberikan jawapan kerana tidak mempunyai maklumat jelas mengenai keadaan pada malam kejadian.
“Saya tidak boleh memberi jawapan kerana saya pun tidak ada maklumat yang jelas tentang keadaan pada malam itu, sama ada dari pihak sekolah ataupun dari polis penyiasat,” katanya.
Mengenai ketiadaan saksi mata ketika Zara jatuh, Noraidah menjelaskan bahawa maklumat itu bukan datang daripadanya, sebaliknya disampaikan oleh Ustaz Azhari.
“Bukan saya yang cakap tiada saksi mata. Itu adalah maklumat yang diberi oleh Ustaz Azhari kepada saya, tuan.
“Tiada saksi mata yang melihat katanya kerana semua murid tidur jam 11 malam,” katanya.
Sementara itu, peguam bela turut merujuk kepada pernyataan saksi Noraidah yang menggambarkan Zara sebagai seorang anak yang ceria dan kuat.
Beliau sekali lagi mempersoalkan mengapa Zara membuat keputusan untuk terjun sekiranya mempunyai perwatakan sedemikian.
“Saya tidak percaya Zara akan membuat keputusan seperti itu. Sebab bagi saya Zara ini anak yang ceria, kuat dan tidak mudah mengalah walau apa pun provokasi yang orang buat kepada dia,” jawab Noraidah.
Ditanya mengenai maksud provokasi, Noraidah berkata ia merujuk kepada ejekan, buli dan gelaran yang diberikan kepada Zara sepanjang berada di asrama.



