KUALA LUMPUR: Ajaran ‘New Age Movement’ antara fahaman yang berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa agama Sabah bagi memastikan ia tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pemantauan terhadap fahaman berkenaan dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Mufti Negeri Sabah.
Katanya, pihak berkuasa agama sentiasa memantau pelbagai ajaran dan fahaman yang dibawa masuk atau berkembang di negeri itu, termasuk yang dikenal pasti memerlukan perhatian dari sudut akidah dan syariah.
“Di Sabah, perkara ini sentiasa dipantau dan dari masa ke masa Pejabat Mufti akan bersama-sama dengan JHEAINS melihat bukan saja ajaran atau fahaman berkenaan tetapi fahaman-fahaman lain.
“Pejabat Mufti akan sentiasa bersama JHEAINS memantau bersama dengan MUIS untuk melihat mana-mana perkara yang perlu kita awasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa 1448H/2026M (MTHQA) Ke-66 di Dewan Merdeka, di sini.
Mohd Arifin berkata, masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan sendiri sekiranya mempunyai keraguan terhadap sesuatu ajaran atau fahaman, sebaliknya mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa agama.
“Mana-mana yang kita merasa ragu akan perkara atau ajaran berkenaan, maka sebaiknya rujuk kepada Jabatan Mufti, JHEAINS dan MUIS.
“Kita mempunyai senarai ajaran atau fahaman yang sudah kita fatwakan sebagai fahaman yang menyeleweng,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pemantauan terhadap penceramah dan pendakwah yang datang ke Sabah turut diperkemaskan bagi memastikan kandungan dakwah yang disampaikan selari dengan ketetapan agama negeri.
Katanya, setiap penceramah atau pendakwah yang mahu menyampaikan pengajaran agama di Sabah perlu mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama terlebih dahulu.
“Mana-mana penceramah, mana-mana pendakwah yang datang ke Sabah, termasuk pendakwah yang ada di Sabah, mestilah sebelum membuat pengajaran agama atau mengadakan ceramah mendapatkan tauliah.
“Mereka akan diberikan tauliah setelah ditemuduga dan inilah peraturan yang kita laksanakan di negeri Sabah demi memastikan apa yang dibawa oleh pihak berkenaan tidak tersasar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Sementara itu, mengulas penyertaan rombongan Sabah dalam MTHQA Ke-66, Mohd Arifin berkata, kehadiran delegasi negeri itu bukan sekadar untuk menyemarakkan program berkenaan, malah memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman dalam pengurusan program keagamaan.
Menurutnya, delegasi Sabah turut mengambil kesempatan mengadakan lawatan serta mendapatkan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada agensi berkaitan, khususnya dalam aspek pentadbiran, tadbir urus dan pelaksanaan program.
“Kita seboleh-bolehnya akan hadir untuk menyemarakkan majlis, memberikan sokongan dan mudah-mudahan dengan adanya usaha berkenaan kita boleh bersama-sama beroleh berkat daripada Allah SWT.

“Kita juga boleh mengambil kesempatan ini di samping hadir di majlis tilawah pada sebelah malam, kita pada sebelah siang melaksanakan program dan aktiviti lain yang melibatkan kementerian, agensi serta jabatan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang penyertaan itu akan dibawa pulang untuk dimanfaatkan dalam usaha menambah baik pengurusan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan di Sabah.
Mohd Arifin turut berharap penyertaan Sabah dalam MTHQA Ke-66 dapat memberi pendedahan kepada peserta untuk meningkatkan mutu bacaan al-Quran, selain melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz dan hafizah yang mampu mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.



