HomeUtamaJelajah Aku Kasih Malaysia dekati rakyat, ketengahkan isu setempat

Jelajah Aku Kasih Malaysia dekati rakyat, ketengahkan isu setempat

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Program Jelajah Aku Kasih Malaysia @ Sabah menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan agensi kerajaan menerusi interaksi secara bersemuka, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kenegaraan dan mengukuhkan semangat patriotisme.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, program itu bertujuan membawa Akademi Kenegaraan Malaysia lebih dekat dengan komuniti, selain memudahkan rakyat mendapatkan maklumat tepat melalui saluran rasmi kerajaan.

“Objektif utama program ini ialah kita mahu membawa Akademi Kenegaraan Malaysia ke tengah masyarakat dan komuniti, selain mendekatkan masyarakat dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Kita harap melalui interaksi ini, mereka dapat memperoleh maklumat daripada saluran rasmi dan meningkatkan kasih mereka kepada negeri serta negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program berkenaan di Dewan ADTEC Kota Kinabalu, di sini.

Menurutnya, program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri itu membabitkan lima lokasi di Sabah, dengan Parlimen Sepanggar menjadi lokasi pertama.

Mustapha berkata, sesi dialog bersama komuniti di Sepanggar turut memberi ruang kepada penduduk mengetengahkan pelbagai isu infrastruktur asas yang memerlukan perhatian pihak berkuasa.

Katanya, antara isu yang sering dibangkitkan ialah banjir, jalan berlubang serta masalah kecurian bekalan air dan elektrik.

“Banyak aduan telah disalurkan, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, terutamanya melalui media sosial yang sering mengutarakan isu-isu banjir, jalan berlubang dan masalah kecurian air, elektrik serta perkara berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, program itu turut merangkumi pelbagai aktiviti bersama komuniti bagi membentuk jati diri dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, program berkenaan menyediakan ruang interaksi secara langsung antara penduduk dengan agensi kerajaan bagi membolehkan isu serta aduan setempat disampaikan kepada pihak berkaitan untuk tindakan susulan.

Mustapha turut mengadakan Siri Temu Rakyat menerusi sesi dialog town hall dengan penglibatan agensi utama, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Hadir sama, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Roslan Hussin; Pengarah ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu, Ts. Sudirman Hammade; dan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang.

RELATED ARTICLES
Utama

Projek RKAT RM100 juta di Tawau masih terbengkalai, kemajuan kekal 28...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular