HomeUtamaProjek RKAT RM100 juta di Tawau masih terbengkalai, kemajuan kekal 28 peratus

Projek RKAT RM100 juta di Tawau masih terbengkalai, kemajuan kekal 28 peratus

Read Time:1 Minute, 9 Second

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Angkatan Tugas Bersama 2 di Kem Kukusan, Tawau, bernilai RM100 juta masih tidak menunjukkan pertambahan kemajuan fizikal ketika semakan susulan audit dijalankan pada Jun 2026.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026, projek di bawah Kementerian Pertahanan itu merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 28 peratus setakat 31 Disember 2024, meskipun tempoh kontrak asal berakhir pada 7 Julai 2024.

Kontrak pembinaan berkenaan bermula pada 6 September 2021, namun projek itu kemudiannya dikategorikan sebagai projek lewat jadual atau “projek sakit” dalam LKAN 3/2025.

Dua lanjutan masa berjumlah 418 hari telah diberikan, bagaimanapun projek berkenaan masih gagal disiapkan berikutan kelemahan pengurusan kewangan kontraktor serta kegagalan melaksanakan kerja dengan tekun sehingga aktiviti di tapak pembinaan terhenti.

Susulan itu, kontrak projek berkenaan ditamatkan pada 23 Mei 2025.

Menurut laporan itu, sehingga 30 Julai 2026, projek berkenaan masih berstatus “simpan dalam perhatian” sementara Kementerian Pertahanan menguruskan permohonan perubahan projek membabitkan kos tambahan RM3.90 juta bagi membolehkan pelantikan kontraktor penyiap.

Dalam maklum balas bertarikh 27 Ogos 2026, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kenaikan kos berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi pada 6 Ogos 2026.

Dokumen tender semula juga telah disediakan, dengan iklan tender dijangka dikeluarkan pada September 2026 bagi membolehkan kerja pembinaan disambung semula.

Perkembangan itu menunjukkan projek perumahan anggota tentera berkenaan masih memerlukan tindakan susulan bagi memastikan pembinaannya dapat diteruskan selepas kontrak asal ditamatkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Jelajah Aku Kasih Malaysia dekati rakyat, ketengahkan isu setempat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular