KOTA KINABALU: Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 bakal berlangsung di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, dari 23 hingga 25 Oktober ini, dengan pelbagai aktiviti menarik merangkumi hiburan, keusahawanan dan peluang perniagaan untuk orang ramai.
Berlangsung selama tiga hari, karnival itu dijadualkan dari pukul 9 pagi hingga 10 malam, dengan kemasukan percuma kepada semua pengunjung.
Antara tarikan utama ialah persembahan konsert XPDC, Velvet Aduk dan Datuk Francis Landong, selain persembahan Borneo Beat serta Malam Gema Rohani yang dijangka memeriahkan suasana sepanjang penganjuran acara berkenaan.
Selain hiburan, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan, termasuk townhall keusahawanan, sesi perkongsian melalui Pocket Talk, permainan Kahoot dan cabutan bertuah.
Karnival itu turut menyediakan kemudahan konsultasi pembiayaan dan latihan bagi membantu usahawan mendapatkan maklumat berkaitan peluang pembangunan perniagaan. Jualan MADANI KUSKOP juga akan diadakan sebagai antara tarikan kepada pengunjung.
Majlis perasmian karnival dijadualkan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada Ahad, 25 Oktober 2026.
Orang ramai, khususnya penduduk Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk memeriahkan karnival tersebut.
Penganjuran Karnival HPM Edisi Sabah 2026 diharap dapat menyediakan platform untuk memperkenalkan peluang keusahawanan, menghubungkan usahawan dengan pelbagai inisiatif sokongan serta menggalakkan sokongan terhadap perniagaan tempatan.
Maklumat program:
- Tarikh: 23–25 Oktober 2026
- Masa: 9 pagi hingga 10 malam
- Lokasi: Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, Sabah
- Masuk adalah percuma



