Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Perbicaraan kes membabitkan seorang warga emas yang didakwa membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat di Sepanggar akan bermula pada Disember tahun ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 hingga 16 dan 18 Disember 2026; 15 hingga 19 dan 24 hingga 26 Februari 2027; serta 24 hingga 28 Mei 2027.
Pihak pendakwaan dijangka memanggil seramai 35 saksi sepanjang perbicaraan itu.
Mahkamah turut menetapkan 16 November ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan kali kedua, manakala pernyataan saksi perlu diserahkan selewat-lewatnya pada 30 November 2026.
Piluta Samad, 72, didakwa membunuh bekas tunangnya, Hamidah Husin @ Lisa, 44, antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 11 Februari 2026, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya, tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.
Piluta pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret pada 27 Februari lalu, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu. Dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada 14 September lalu selepas kes berkenaan dipindahkan ke mahkamah itu.
Untuk rekod, pada 23 Julai lalu, laporan hospital mengesahkan Piluta layak dibicarakan dan tidak mengalami sebarang penyakit mental.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Naziah Mokhtar, bersama Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili dan Ronnie Anthony mengendalikan pendakwaan.
Piluta diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, Ian Vun, Prem Elmer Ganasan dan Prabjit Singh Gill.



