KOTA KINABALU: Peluasan perkhidmatan BAS.MY ke koridor Sepanggar–Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP)–Telipok wajar dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan perjalanan harian penduduk, menurut dua pensyarah kanan Politeknik Kota Kinabalu.
Anbukkarasu Paramasivam dan Noel Marcellus Michael berkata cadangan itu disokong dapatan kaji selidik dalam talian terhadap 1,063 responden yang dijalankan dari 9 hingga 19 Oktober lalu.
Menerusi artikel bersama, mereka berkata sebanyak 98.3 peratus responden bersetuju perkhidmatan itu diperluaskan ke koridor berkenaan, termasuk 94.1 peratus yang menyatakan sangat bersetuju.
Selain itu, 94 peratus responden menyatakan mereka berkemungkinan menggunakan BAS.MY sekiranya perkhidmatan tersebut diperluaskan ke kawasan berkenaan.
“Kami berharap pihak BAS.MY dan pihak berkuasa pengangkutan berkaitan dapat meneliti data ini dan mempertimbangkan untuk membuka laluan BAS.MY ke koridor Sepanggar–KKIP–Telipok,” menurut mereka.

Menurut kedua-dua pensyarah itu lagi, koridor itu menempatkan kawasan perumahan, institusi pendidikan dan kawasan perindustrian yang memerlukan rangkaian pengangkutan awam mudah diakses serta mempunyai jadual perjalanan bersesuaian.
Mereka menyatakan dalam artikel berkenaan bahawa koridor tersebut masih belum mempunyai laluan berjadual BAS.MY ketika kajian dijalankan.
Dapatan kaji selidik turut menunjukkan 60.4 peratus responden tidak memiliki kenderaan peribadi, manakala 67.5 peratus tergolong dalam kumpulan pendapatan B40.
Sebahagian besar responden menetap di Sepanggar atau Jalan Sulaman, iaitu 28.2 peratus, diikuti KKIP sebanyak 24.6 peratus dan Telipok sebanyak 14.5 peratus.
Selebihnya menetap di Manggatal, Inanam atau Kolombong, pusat bandar Kota Kinabalu serta kawasan sekitar.
Dari segi demografi, 64.1 peratus responden berusia bawah 30 tahun, manakala wanita merangkumi 61.6 peratus daripada keseluruhan peserta kajian.
Anbukkarasu dan Noel berkata kajian itu turut memperlihatkan jurang antara tahap kesedaran terhadap BAS.MY dengan pengalaman menggunakan perkhidmatan tersebut.
Sebanyak 97.6 peratus atau 1,037 responden mengetahui mengenai BAS.MY. Bagaimanapun, dalam kalangan yang mengetahui perkhidmatan itu, hanya 34.3 peratus pernah menggunakannya.
Media sosial menjadi saluran utama responden mengetahui mengenai BAS.MY, selain melihat sendiri bas berkenaan di jalan raya serta mendapat maklumat daripada keluarga, rakan atau rakan sekerja.
Pada pandangan mereka, dapatan itu menunjukkan keperluan untuk memberikan perhatian kepada akses laluan dan perhentian berhampiran kediaman serta tempat kerja penduduk.
Kajian berkenaan juga mendapati 77 peratus responden menyatakan kesediaan mempertimbangkan pengurangan penggunaan kereta atau motosikal sendiri sekiranya BAS.MY menjadi lebih dipercayai dan lebih mampu milik.
Kedua-dua pensyarah itu juga berpandangan penyediaan pilihan pengangkutan awam yang lebih baik berpotensi membantu mengurangkan kesesakan di sepanjang koridor berkenaan.
Menurut mereka, kewujudan institusi pengajian tinggi, sekolah, pejabat kerajaan dan premis swasta menjadikan kawasan itu tumpuan perjalanan harian orang ramai.
“Dengan adanya alternatif pengangkutan awam yang mudah diakses dan mengikut jadual yang bersesuaian, lebih ramai pengguna berpeluang untuk meninggalkan kenderaan persendirian,” menurut mereka.



