KOTA KINABALU: Seorang majikan didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menggaji seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina.
Hakim Hurman Hussain mengenakan denda itu terhadap Mohd Ansar selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menggaji seorang lelaki warga Filipina berusia 31 tahun yang tidak memiliki pas sah di sebuah restoran dalam daerah Inanam, kira-kira jam 2.20 petang pada 15 Julai lalu.
Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pekerja yang diambil bekerja.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Baxter Junior Goh.
Manakala dalam kes berasingan, seorang lelaki didenda keseluruhan RM20,000 selepas mengaku bersalah membenarkan empat imigran haram berada di premis di bawah kawalannya.
Mohd Azmi dikenakan denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi setiap imigran haram terbabit oleh hakim sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku individu yang mempunyai kuasa dan kawalan terhadap premis makanan di Jalan Tuaran, Likas, didapati membenarkan empat imigran haram memasuki premis berkenaan kira-kira jam 4.10 petang pada 15 Julai lalu.
Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Hairul Bona.



