HomeUtamaMajlis Fatwa Sabah putuskan ajaran kuantum dalam Ilmu Tauhid menyeleweng - Mufti...

Majlis Fatwa Sabah putuskan ajaran kuantum dalam Ilmu Tauhid menyeleweng – Mufti Sabah

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan konsep kuantum dalam Ilmu Tauhid menurut Tarmizi Taha yang menerapkan ideologi New Age Movement sebagai menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Waljamaah serta mencemari disiplin ilmu Islam.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, keputusan itu dibuat menerusi Persidangan Majlis Fatwa Negeri Sabah kali ketiga yang berlangsung selama dua hari berakhir pada hari ini.

Menurutnya, antara penyelewengan utama yang dikenal pasti ialah penerapan ideologi New Age Movement menerusi kepercayaan terhadap mistik kuantum (quantum mysticism) yang membawa kepada fahaman wahdatul wujud mulhidah dan panteisme.

Katanya, fahaman berkenaan termasuk dakwaan bahawa kewujudan Allah SWT dan alam adalah bersatu atau sama, sekali gus menyamakan Pencipta dengan makhluk.

“Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan bahawa ajaran ini menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Waljamaah serta mencemari disiplin ilmu Islam.

“Dari aspek tasawuf pula, ajaran berkenaan didapati menyelewengkan pemikiran ulama seperti Imam Al-Ghazali dengan memetik kenyataan mereka di luar konteks bagi menyokong fahaman quantum mysticism dan monisme moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri persidangan Majlis Fatwa Negeri Sabah di sini, pada Khamis.

Bungsu berkata, penyelewengan turut melibatkan amalan doa dan zikir yang dikaitkan dengan konsep frekuensi serta getaran kosmik.

“Menjadikan doa dan zikir sebagai mekanisme frekuensi dan getaran kosmik, bukan hanya sebagai ibadah, pengabdian dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati seluruh umat Islam di Sabah supaya menjauhi ajaran berkenaan serta tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang bentuk penyebaran, ceramah atau program berkaitan.

Nasihat sama turut meliputi apa juga ajaran yang mempunyai persamaan dan berpotensi membawa kepada penyelewengan prinsip akidah Ahli Sunnah Waljamaah di negeri ini.

Dalam persidangan sama, Majlis Fatwa Negeri Sabah turut memperakui Garis Panduan Motivasi Berunsur Islam Negeri Sabah sebagai panduan dan rujukan masyarakat Islam di negeri ini.

Menurut Bungsu, garis panduan itu bertujuan memastikan penganjuran program motivasi, pembangunan diri serta kaunseling spiritual dilaksanakan bertepatan dengan hukum syarak dan memenuhi prinsip utama akidah, syariah serta akhlak Islamiah.

Katanya, garis panduan berkenaan penting susulan perkembangan pendekatan motivasi Barat yang berteraskan ideologi sekular serta pemikiran New Age Movement, termasuk konsep Law of Attraction dan mistik moden yang semakin meluas.

“Tanpa garis panduan yang tegas, modul-modul motivasi sedemikian terdedah kepada penyusupan doktrin asing yang bercanggah dengan akidah serta merosakkan kefahaman umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu, semua penganjur program motivasi, penceramah, perunding latihan dan pihak berkaitan diseru supaya merujuk serta mematuhi garis panduan berkenaan dalam setiap pelaksanaan aktiviti dan program.

Dalam pada itu, Bungsu berkata, Pejabat Mufti Negeri Sabah akan terus bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) selaku agensi penguatkuasaan bagi menjalankan pemantauan secara berterusan.

Katanya, kerjasama itu bertujuan memastikan ketenteraman dan kesucian syiar Islam di Sabah sentiasa terpelihara, selain melindungi umat Islam daripada sebarang anasir penyelewengan.

Beliau turut menyeru umat Islam supaya terus berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah, melaksanakan syariah berpandukan al-Quran dan sunnah serta menghayati akhlak Islamiah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

LLM mohon maaf gangguan TuJu, giat pulihkan sistem dan tingkat keupayaan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular