KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan perlu terus memperkukuh dan mempertahankan kerjasama bagi memastikan agenda serta perjuangan untuk rakyat Sabah dapat direalisasikan, kata Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata, kerjasama itu penting bagi memperjuangkan kepentingan Sabah, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hak 40 peratus hasil negeri.
“Apabila parti-parti tempatan bergabung dan bekerja kuat sebagai satu pasukan, kita dapat memastikan perkara yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Exco Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang diketuai Ketua Wanitanya, Mohina Ronnie Sidom, di Wisma IDS, di sini, pada Khamis.
Azizah berkata, semua pihak perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan bagi mengekalkan kerjasama, selain mengutamakan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pembentukan GRS yang menghimpunkan parti-parti tempatan mencerminkan kematangan politik di Sabah, sekali gus membuka ruang kepada semua pihak untuk mencari titik persamaan dalam memperkukuh kedudukan negeri dalam Malaysia.
“Semangat ini selari dengan prinsip Sabah First dan hala tuju Sabah Maju Jaya. Dengan kerjasama yang kukuh, kita dapat melaksanakan usaha untuk kemakmuran dan kemajuan negeri. Sebab itu, gabungan ini mesti kita pertahankan,” katanya.
Hadir sama ialah Setiausaha Wanita UPKO, Prisca Papaya; Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Julia Abu Bakar Titingan serta barisan Exco Wanita UPKO.



