HomeUtamaMarkas 13 Briged perkukuh keselamatan pantai timur Sabah

Markas 13 Briged perkukuh keselamatan pantai timur Sabah

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Markas 13 Briged Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah, khususnya di kawasan sempadan bagi memastikan kedaulatan negeri terus terpelihara.

Panglima 13 Briged, Brigedier Jeneral Ahmad Hafizal Hashim berkata, usaha berkenaan menjadi antara fokus utama pasukan itu dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya di Sabah.

“Fokus utama 13 Briged adalah untuk memperkukuh keselamatan di kawasan pantai timur Sabah, terutama di kawasan sempadan dengan negara jiran.

“Kami akan terus melaksanakan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara, khususnya di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini.

Menurut Ahmad Hafizal, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan diri kepada Tun Musa selepas dilantik sebagai Panglima 13 Briged keempat, yang berpangkalan di Kem Cenderawasih, Lahad Datu.

Beliau berkata, usaha memelihara keselamatan Sabah turut memerlukan kerjasama erat antara pasukan tentera, pihak berkuasa awam dan masyarakat setempat.

“Selain melaksanakan tugas sebagai anggota tentera, kami turut mengharapkan kerjasama daripada pihak berkuasa awam dan seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama menjaga keselamatan negeri ini.

Ahmad Hafizal

“Keselamatan bukan hanya tanggungjawab anggota tentera semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terus memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan bagi memastikan keamanan dan kedaulatan negeri sentiasa terpelihara.

Ahmad Hafizal mengambil alih jawatan Panglima 13 Briged daripada Brigedier Jeneral Datuk Jagjit Singh Indar Singh dalam majlis serah terima tugas yang berlangsung di Kem Kubota, Tawau, pada 13 Oktober lalu.

RELATED ARTICLES
Utama

88 permohonan pembangunan libatkan GDV RM5.7 bilion

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular