KOTA KINABALU: Sebanyak 88 permohonan pembangunan dari 15 daerah di Sabah diberikan Kelulusan Pembangunan Sementara (IDA) membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM5.7 bilion.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sebahagian besar permohonan berkenaan diluluskan, manakala empat lagi ditangguhkan untuk penelitian (KIV).
Beliau berkata, keseluruhan permohonan itu merangkumi 6,187 unit pembangunan melibatkan sektor perumahan, komersial, industri dan pelancongan.
“Sebahagian besar kita luluskan, ada empat yang kita KIV. Ia melibatkan lebih kurang RM5.7 bilion GDV, yang mana melibatkan sejumlah 6,187 unit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Perancangan Negeri (MPN) di sini pada Khamis.
Arifin berkata, lebih 2,000 unit membabitkan pembangunan perumahan, manakala lebih 2,000 unit lagi terdiri daripada premis perniagaan atau komersial.

Menurutnya, sebanyak 71 unit pula melibatkan pembangunan industri, manakala selebihnya membabitkan sektor pelancongan.
Arifin berkata, permohonan berkenaan dikemukakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari 15 daerah dan melibatkan cadangan pembangunan di hampir seluruh Sabah.
Bagaimanapun, katanya, kelulusan di peringkat MPN itu adalah bersyarat dan setiap projek perlu melalui proses susulan di peringkat Jawatankuasa Perancang Daerah.
Beliau berkata, PBT perlu memastikan pemohon memenuhi keperluan teknikal daripada jabatan berkaitan, termasuk aspek alam sekitar, pertanian, tanah dan Jabatan Kerja Raya (JKR), sebelum projek dapat dilaksanakan.
“Apabila sudah memenuhi syarat-syarat teknikal, barulah mereka boleh melaksanakan projek atau perkara berhubung pembangunan,” katanya.
Menurutnya, antara aspek yang turut diteliti dalam perancangan pembangunan ialah syarat tanah, zon pembangunan, ketinggian, kepadatan atau densiti serta akses ke kawasan terlibat.
Beliau berkata, semua PBT yang mengemukakan permohonan perlu memastikan syarat berkenaan dipatuhi bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan mengikut ketetapan ditetapkan.



