HomeUtama291 projek pembangunan siap bukti kemajuan Sabah – Nizam

291 projek pembangunan siap bukti kemajuan Sabah – Nizam

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah sepanjang 2026, sekali gus mencerminkan kemajuan pelaksanaan agenda pembangunan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pencapaian itu turut disokong peningkatan prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah daripada 52.07 peratus pada 10 Ogos kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober lalu.

Katanya, peningkatan sebanyak 19.71 mata peratusan dalam tempoh kurang tiga bulan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan dengan lebih berkesan.

“Peningkatan ini amat membanggakan dan memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kejayaan menyiapkan projek berkenaan adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk kementerian, jabatan serta agensi pelaksana.

Antara projek yang berjaya disiapkan ialah Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang, yang bakal menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas perhatian berterusan terhadap agenda pembangunan Sabah, terutama dalam aspek kecekapan pelaksanaan projek, penyelarasan antara agensi dan penggunaan peruntukan secara optimum.

Beliau turut menyokong gesaan Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah supaya kementerian dan agensi pelaksana mempergiat usaha serta menetapkan langkah penyelesaian yang jelas bagi memastikan kelancaran setiap projek.

“Pendekatan berorientasikan hasil amat penting supaya setiap perancangan kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam menyambut baik peningkatan peruntukan kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 sebanyak RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026.

Katanya, keutamaan yang diberikan kepada projek strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, projek STATCOM di Sandakan dan Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang merupakan perkembangan yang amat dialu-alukan.

Beliau turut berharap peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat meningkatkan kemudahan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.

“Dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kita yakin momentum pembangunan ini dapat diteruskan bagi merancakkan ekonomi, memperluas kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam serta semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

ESSCOM rekod tindakan, rampasan RM269,439.26 dalam operasi di Kunak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular