KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sudah menyusun persiapan dan kerjasama antara agensi bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak terjejas sekiranya berlaku banjir atau bencana alam ketika peperiksaan berlangsung.
Pengarah JPN Sabah, Abidin Marjan berkata, persiapan itu mengambil kira kemungkinan berlaku bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang boleh menjejaskan pergerakan calon, guru serta kelancaran pusat peperiksaan.
Katanya, JPN sudah mengadakan mesyuarat dan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan segera sekiranya berlaku sebarang kejadian.
“Pihak JPN sudah membuat persediaan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut ataupun bencana alam yang lain.
“Kami telah mengadakan mesyuarat dan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak bomba, polis dan agensi lain bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi.

“Turut dibincangkan perkara yang melibatkan aspek kebajikan dan penempatan asrama sekiranya berlaku banjir atau bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Abidin berkata, kesiapsiagaan berkenaan penting memandangkan seramai 37,000 calon bakal menduduki SPM, manakala 8,200 calon akan menduduki STPM di Sabah tahun ini.
Menurutnya, aspek kebajikan dan keselamatan calon turut diberi perhatian supaya mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur walaupun berdepan kemungkinan gangguan akibat bencana.
Dalam pada itu, Abidin menasihatkan calon supaya terus memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan dan menggunakan tempoh yang masih ada untuk membuat ulang kaji.
Beliau turut berharap pihak sekolah terus memberikan sokongan serta motivasi kepada calon bagi membantu mereka menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.
“Selain berusaha, para pelajar perlu memohon doa agar dipermudahkan menjawab soalan semasa peperiksaan,” katanya.



