HomeUtamaHATC Gunung Kinabalu diluluskan, bukan projek pembangunan baharu

HATC Gunung Kinabalu diluluskan, bukan projek pembangunan baharu

Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) di Gunung Kinabalu bukan projek baharu yang dirancang tanpa perancangan, sebaliknya telah dicadangkan sejak 2015 menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelaksanaan projek itu bagaimanapun ditangguhkan susulan kejadian gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun berkenaan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan kemudiannya diaktifkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian usaha Sabah mempelbagaikan produk pelancongan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendakian gunung bertaraf antarabangsa.

“Ini bukan pembangunan yang dirancang secara baharu atau tanpa perancangan. HATC pada asalnya dicadangkan menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015, namun pelaksanaannya ditangguhkan susulan kejadian gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun berkenaan.

Jafry

“Inisiatif itu kemudiannya diaktifkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Jafry berkata, projek berkenaan telah memperoleh kelulusan yang diperlukan daripada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah selain mendapat sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu.

Katanya, penglibatan badan penasihat adat berkenaan penting bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan turut mengambil kira kepentingan budaya dan kerohanian Gunung Kinabalu kepada masyarakat pribumi.

“Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia merupakan sebahagian penting daripada warisan alam semula jadi dan budaya Sabah yang mempunyai hubungan erat dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat pribumi kita.

“Sebarang pembangunan di kawasan ini mesti mengiktiraf dan menghormati nilai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, HATC antara lain membabitkan penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus di altitud tinggi serta aktiviti pendakian gunung.

Menurutnya, kemudahan itu akan memberi ruang kepada pendaki membuat persediaan sebelum menjalani ekspedisi ke destinasi altitud lebih tinggi termasuk Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Gunung Everest.

Jafry berkata, kedudukan Gunung Kinabalu yang mempunyai aksesibiliti baik serta berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu memberikan kelebihan kepada Sabah untuk membangunkan kemudahan latihan pendakian khusus.

Katanya, HATC juga berpotensi menarik penyertaan kelab serta organisasi pendakian gunung dari dalam dan luar negara.

“Ini sekali gus boleh mewujudkan manfaat ekonomi tambahan kepada masyarakat setempat dan industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya.

Jafry berkata, pembangunan HATC turut menyokong matlamat lebih luas Kinabalu UNESCO Global Geopark menerusi penggalakan geopelancongan secara bertanggungjawab, kesedaran alam sekitar dan pembangunan pelancongan mampan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan status kelulusan projek tidak bermakna pembangunan boleh dilaksanakan tanpa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

“Pembangunan tidak boleh sesekali mengorbankan usaha pemuliharaan, begitu juga kemajuan tidak boleh mengetepikan nilai budaya dan tradisi masyarakat kita.

“Kita perlu mencari keseimbangan tepat antara kemajuan dan pemeliharaan kerana nilai sebenar Gunung Kinabalu bukan hanya terletak pada potensi pelancongannya, tetapi juga pada warisan alam semula jadi dan budaya yang perlu kita pelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Empat kawasan di Sabah berdepan ribut petir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular