HomeUtamaSAFMA perluas akses ikan berkualiti pada harga rahmah

SAFMA perluas akses ikan berkualiti pada harga rahmah

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) berusaha memperluas pelaksanaan konsep Ikan Rakyat Sabah bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan ikan berkualiti pada harga berpatutan.

Ahli Lembaga Pengarah SAFMA, Halizah Din berkata, inisiatif itu bertujuan menghubungkan hasil perikanan tempatan dengan nelayan, pengusaha serta masyarakat melalui sistem pemasaran yang lebih tersusun.

Menurutnya, konsep berkenaan turut memberi peluang kepada rakyat mendapatkan sumber protein harian, khususnya ikan, pada harga yang lebih mampu milik.

“Kita mahu hasil laut, terutamanya ikan yang menjadi sumber protein harian rakyat, dapat dibeli pada harga yang berpatutan dan murah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di reruai SAFMA sempena pameran jualan BigSabah Sale 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Ahad.

Halizah berkata, ikan bukan sahaja menjadi sumber makanan penting kepada masyarakat, khususnya komuniti pesisir pantai, malah sektor perikanan turut menjadi sumber pendapatan nelayan dan pengusaha yang terlibat dalam rantaian bekalan serta pemasaran hasil laut.

Sehubungan itu, katanya, SAFMA komited memastikan bekalan hasil laut yang segar dapat dipasarkan pada harga berpatutan, selain menyokong kelangsungan industri perikanan di Sabah.

“SAFMA sentiasa berusaha memperluas akses pengguna kepada hasil perikanan tempatan, sekali gus meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap kepelbagaian hasil laut Sabah.

“Konsep ini juga membawa aspirasi supaya bekalan ikan dapat dipasarkan dengan lebih teratur dan memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Selain jualan ikan, reruai SAFMA turut menyediakan pameran maklumat mengenai perkhidmatan syarikat serta kaunter pendaftaran Rakan Niaga SAFMA.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan penerangan lanjut mengenai peluang kerjasama dalam rangkaian pemasaran hasil perikanan tempatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Empat kawasan di Sabah berdepan ribut petir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular