KOTA MARUDU: Ahli Jawatankuasa Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek digesa memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu pendigitalan, pendidikan, politik dan komunikasi (PPPK) bagi memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi.
Ketua Jawatankuasa Penyelaras Gagasan Rakyat Tandek, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, pendekatan PPPK selari dengan hasrat AJK Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu untuk memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Gagasan Rakyat.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu berkata, pelaksanaan strategi itu penting bagi membangunkan pangkalan data yang lebih tersusun, selain memperkukuh program pendidikan dua hala antara rakyat dengan parti.
Dalam aspek politik, PPPK turut memberi penekanan kepada persediaan menghadapi pilihan raya akan datang, manakala komunikasi dua hala antara rakyat dengan parti perlu dilaksanakan secara strategik bagi memastikan hubungan dan penyampaian maklumat lebih berkesan.
Dr. Janathan yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelaras Gagasan Rakyat Tandek sejak penubuhannya pada September lalu.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Singan Lingkubang sebagai Timbalan Ketua, Lagason Gampong (Setiausaha Bahagian), Jeson Majimal (Ketua Penerangan), Mazod Ondu (Penolong Ketua Penerangan) dan Desimon Freddy Maijar (Penolong Setiausaha).
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Datin Justina Tuyundo sebagai Ketua Penyelaras Wanita, Dm Heryneyer Jeson (Ketua Penyelaras Pemuda), Siti Fatimah (Ketua Penyelaras Beliawanis), serta Binus Lompat, Johari Pengaju dan Ketua Anak Negeri Magimbal Ibun sebagai ahli jawatankuasa.
Dua tokoh turut menganggotai jawatankuasa itu ialah bekas Ahli Parlimen Bandau (kini Kota Marudu), Datuk Dr. George Sangkin dan bekas Pegawai Daerah, Datuk Abdul Latiff Kandok.



