KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Selasa menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.
Kunjungan itu turut disertai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, serta Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri (KPSTI), Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohd Razi; Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali; dan Pengerusi Sabah Net, Datuk Azman Ruslan.
Dalam pertemuan itu, Hajiji menerima taklimat mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2), yang merupakan antara inisiatif penting dalam memperluas infrastruktur serta meningkatkan capaian komunikasi digital di Sabah.

Pelaksanaan JENDELA 2 dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan internet berkualiti berikutan faktor geografi serta taburan penduduk.
Fahmi sebelum ini memaklumkan bahawa JENDELA 2 melibatkan kira-kira 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan sekitar 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak diberi tumpuan dalam Fasa Kedua.
Inisiatif berkenaan dijangka memperkukuh kesalinghubungan digital, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi, pendidikan, perkhidmatan awam serta kesejahteraan masyarakat di kawasan terbabit.



