HomeUtamaProjek TSGP, MPP: RM8.3 bilion dibayar, kemajuan dilapor sekitar 13 peratus

Projek TSGP, MPP: RM8.3 bilion dibayar, kemajuan dilapor sekitar 13 peratus

Read Time:3 Minute, 16 Second

KUALA LUMPUR: Kira-kira RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) telah dibayar kepada kontraktor pada 2018, sedangkan kemajuan kerja yang dilaporkan bagi kedua-dua projek hanya sekitar 13 peratus.

Pembayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual masa dan bukannya berdasarkan kemajuan kerja sebenar, sekali gus disifatkan sebagai kepincangan tatakelola yang serius.

Penjelasan itu diberikan bagi menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) mengenai langkah kerajaan mendapatkan semula wang yang dibayar bagi kedua-dua projek berkenaan, sedangkan kerja belum disiapkan katnya Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Anwar lagi , TSGP dan MPP diluluskan pada 2016 melalui Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan.

Kedua-dua projek mempunyai nilai keseluruhan kontrak RM9.4 bilion dan diberikan secara rundingan terus kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada 1 November 2016.

MPP membabitkan pembinaan saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer dari Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan, ke Jitra, Kedah, dengan nilai kontrak RM5.35 bilion.

TSGP pula merangkumi saluran paip gas sepanjang 680 kilometer yang menghubungkan Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau, Sabah, bernilai RM4.06 bilion.

Kedua-duanya melibatkan pembiayaan Export-Import Bank of China (China EximBank) sebanyak 85 peratus daripada nilai projek dengan jaminan Kerajaan Persekutuan.

Semakan turut mendapati urusan tanah serta kebolehlaksanaan pembekalan gas bagi TSGP dan hak pemasangan saluran paip bagi MPP belum diselesaikan.

Kontrak kedua-dua projek akhirnya ditamatkan pada 2018, menyebabkan Kerajaan Persekutuan berdepan obligasi pembayaran balik pinjaman kepada China EximBank berjumlah RM8 bilion.

“Isu pokok yang berlaku ialah pembayaran wajib diluluskan mengikut jadual masa dan bukan kemajuan projek.

“Maknanya kalau baru dibayar pada bulan Disember, walaupun projek belum berjalan, itu dibayar. Saya kurang mengerti kaedahnya, tetapi itulah keadaannya menyebabkan bayaran diluluskan,” katanya.

Tambahnya, usaha penyelesaian dilakukan sejak tiga pentadbiran terdahulu di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun perkara berkenaan masih belum dapat diselesaikan.

Rundingan di bawah Kerajaan MADANI kemudian menghasilkan perjanjian antara SSER dengan China EximBank pada 30 Oktober 2026 bagi penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion untuk membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara–Pulau Pinang (NPWSS).

Persetujuan itu membolehkan nilai RM5 bilion dimanfaatkan dalam bentuk pembiayaan projek pembangunan baharu, sekali gus mengurangkan kerugian negara daripada RM8 bilion kepada RM3 bilion.

Baki kerugian RM3 bilion berbangkit daripada pampasan kepada kontraktor, antaranya bagi kerja awalan dan kos yang ditanggung.

NPWSS merangkumi penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja menaik taraf di sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar serta pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.

Projek itu menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari untuk utara Perak, termasuk kawasan perindustrian Kerian, serta 300 juta liter sehari untuk Pulau Pinang.

Sebanyak 500 juta liter sehari air mentah turut disasarkan bagi pengairan pertanian.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan berhubung isu projek TSGP dan MPP masih belum ditutup, meskipun berdepan kesukaran kerana membabitkan maklumat serta kerjasama antara dua negara.

“Kes itu tidak ditutup, cuma melibatkan pemimpin-pemimpin yang terdahulu dan saya tidak anggap kes ini ringan.

“Bila saya dapat laporan tentang siasatan, memang tetap ada elemen sakau, tidak boleh nafikan,” katanya.

Anwar turut memperincikan usaha memperkukuh bekalan elektrik Sabah, termasuk Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu yang mula menyalurkan tenaga sejak Jun 2025.

Projek berkapasiti 100 megawatt dengan nilai kontrak kira-kira RM644.6 juta itu dilaksanakan melalui pembiayaan komersial Sabah Electricity bagi membantu menstabilkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah.

Kerajaan Persekutuan turut menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link melalui Belanjawan 2026 untuk memperkukuh penghantaran elektrik antara Pantai Barat dengan Pantai Timur Sabah.

Bagi keperluan jangka panjang, Projek Hidroelektrik Ulu Padas bernilai kira-kira RM4 bilion sedang dilaksanakan dengan kapasiti penjanaan 187.5 megawatt dan sasaran operasi pada 2030.

Projek itu dibiayai pemaju sebagai projek penjana tenaga bebas dengan penyertaan Sabah Energy Corporation.

RELATED ARTICLES
Utama

Masidi terima kunjungan hormat Pegawai Daerah Ranau baharu, Herry Awit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular