Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Enam siri operasi penguatkuasaan menerusi Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5 di sekitar Sabah berjaya merekodkan nilai rampasan keseluruhan hampir RM16.88 juta, selain menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyimpanan, penjualan dan pengedaran barangan tidak sah.

Operasi yang dilaksanakan pada 22 hingga 27 Oktober lalu itu membabitkan kawasan Kota Kinabalu, Menggatal, Inanam, Putatan, Tamparuli dan Penampang, dengan tumpuan terhadap kegiatan penyimpanan serta pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam, selain produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dipercayai tidak mematuhi keperluan perundangan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan RM16,877,684, merangkumi minuman keras tidak bercukai kastam bernilai RM14,952,572, produk makanan, kesihatan dan kosmetik (RM675,112) serta kenderaan (RM1.25 juta).
Beliau berkata, kejayaan itu hasil tindakan berasaskan risikan serta kerjasama strategik secara bersepadu antara agensi penguatkuasaan.
“Bagi Op Taring Alpha 2, tiga siri serbuan dilaksanakan dengan tumpuan kepada kegiatan penyimpanan dan pengedaran minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam.
“Operasi pertama pada 22 Oktober di Menggatal berjaya merampas 1,485 botol kaca minuman keras bernilai RM742,500.
“Operasi kedua pada 26 Oktober di Tamparuli membawa kepada rampasan 22,320 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama serta tiga buah lori, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.48 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Mes Pegawai Ibu Pejabat Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkata, operasi ketiga pada 27 Oktober di Penampang mencatat rampasan terbesar menerusi penemuan 433,296 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tidak bercukai kastam, selain dua buah lori dan dua buah van. Nilai rampasan bagi operasi itu dianggarkan RM13.98 juta.
“Secara keseluruhan, Op Taring Alpha 2 merekodkan nilai rampasan sebanyak RM16.20 juta,” katanya.
Bagi Op Taring Alpha 5 pula, Mohd Yusri berkata, tiga siri serbuan dan pemeriksaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Beliau berkata, operasi pertama pada 22 Oktober di Centre Point Sabah, Kota Kinabalu berjaya merampas 577 produk makanan diproses dan sejuk beku serta 251 produk kesihatan dan kosmetik yang dipercayai berasal dari Filipina, dengan nilai keseluruhan RM262,800.
“Operasi kedua pada hari sama di Inanam melibatkan rampasan 526 paket produk makanan sejuk beku serta 313 unit produk kesihatan dan kosmetik bernilai RM192,312.
“Manakala operasi ketiga pada 23 Oktober di Putatan menyaksikan rampasan 2,007 produk makanan diproses oleh DVS dan 14,000 paket pelbagai jenis produk makanan diproses oleh KKM, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM220,000.
“Jumlah rampasan bagi Op Taring Alpha 5 direkodkan sebanyak RM675,112,” jelasnya.
Mengulas hasil siasatan, Mohd Yusri berkata, pemeriksaan mendapati premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai stor sementara untuk menyimpan pelbagai barangan sebelum diedarkan kepada pengguna.
Katanya, bekalan barangan berkenaan dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara, manakala sebahagian premis yang diperiksa didapati tidak mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, pihak polis percaya kegiatan itu dijalankan oleh sindiket atau kumpulan terancang berdasarkan jumlah rampasan yang besar, namun identiti dalang di sebaliknya masih dalam siasatan.
“Daripada jumlah rampasan dan tangkapan yang diperoleh, kita percaya kegiatan ini dijalankan oleh satu sindiket atau kumpulan terancang. Kita akan mengenal pasti dalang yang terlibat, termasuk kemungkinan pihak yang menjadi pelindung kepada aktiviti berkenaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan turut memberi tumpuan kepada keseluruhan rangkaian bekalan, termasuk pembekal, pengimport, penyimpan dan pengedar bagi membolehkan tindakan diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
“Berdasarkan maklumat siasatan, kegiatan berkenaan dipercayai telah beroperasi antara tiga hingga 10 tahun, manakala modus operandi pihak terbabit termasuk mengubah lokasi penyimpanan selepas tindakan penguatkuasaan dilakukan.
“Apabila kita mengambil tindakan, mereka mengubah modus operandi dan mungkin berpindah ke lokasi lain. Namun, kita akan terus memburu mereka melalui pengumpulan risikan dan maklumat bersama pelbagai agensi,” katanya.
Mohd Yusri berkata, tindakan terhadap premis yang tidak mempunyai lesen atau permit akan diserahkan kepada PBT, manakala warga asing yang terlibat akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“Bagi kes melibatkan minuman keras tidak bercukai kastam, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala kes di Penampang turut melibatkan tindakan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Rampasan produk makanan, kesihatan dan kosmetik pula diserahkan kepada agensi berkaitan, khususnya KKM dan DVS, untuk pemeriksaan, pengesahan, analisis serta tindakan lanjut,” katanya.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, IPD Tuaran dan IPD Penampang, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, KKM, DVS serta KPDN.
Mengulas pencapaian operasi secara keseluruhan, Mohd Yusri berkata, Op Taring Alpha 2 telah merekodkan 30 kes, 62 tangkapan dan nilai rampasan RM63.53 juta, manakala Op Taring Alpha 5 merekodkan lapan kes, satu tangkapan serta nilai rampasan RM1.87 juta.
Sementara itu, katanya, sehingga Oktober 2026, WCB/PSK merekodkan sebanyak 296 kes melibatkan 493 tangkapan orang kena tuduh (OKT), dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan mencecah RM352.54 juta.
Beliau menegaskan JKDNKA akan terus mempergiatkan usaha risikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan tidak sah, termasuk mengenal pasti dan melumpuhkan rangkaian sindiket yang terlibat.



