KOTA KINABALU: Usaha memperkasa industri tarian tempatan perlu dimulakan dengan mencungkil lebih ramai bakat baharu, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda.
Penyanyi Wani Kayrie berkata, keperluan melahirkan generasi penari baharu menjadi antara sebab beliau mengambil inisiatif menubuhkan akademi tarian menerusi syarikatnya, Wani Kayrie Entertainment.
Menurutnya, industri tarian memerlukan lebih ramai pelapis bagi memastikan bidang seni itu terus berkembang dan tidak hanya bergantung kepada kelompok penari sedia ada.

Katanya, latihan sejak usia muda penting untuk membentuk kemahiran serta menyediakan penari yang mampu memenuhi keperluan industri hiburan.
“Kalau diperhatikan, penari dalam industri kita sering terdiri daripada individu sama. Saya mahu mencantikkan dan memeriahkan lagi industri ini dengan melahirkan lebih ramai pelapis menerusi akademi sendiri.
“Setakat ini, kami mempunyai lebih 20 penari tetap dengan usia paling muda sekitar enam tahun,” katanya ketika ditemui selepas perasmian pembukaan butik jenama tempatan, Bayu Somerset di sini.
Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, berkata akademi berkenaan ditubuhkan pada Februari tahun lalu berikutan minat mendalamnya terhadap bidang tarian serta keinginan menyediakan platform pembangunan bakat muda.

Katanya, peserta yang mengikuti latihan bukan sahaja berpeluang mengasah kemahiran tarian, malah berpotensi melangkah ke peringkat profesional sebagai penari latar.
Malah, penari yang mencapai tahap profesional berpeluang menyertai persembahan bersamanya selain diberikan ruang untuk bekerjasama dengan penyanyi lain.
Wani berkata, usaha itu selaras dengan misinya untuk melahirkan lebih ramai penari profesional yang mampu menyertai persembahan pentas berskala mega termasuk di peringkat antarabangsa. – SABAH MEDIA



