SHAH ALAM, – Kerajaan Selangor sedang merangka dasar lebih ketat bagi rumah sembelihan ayam komersial, termasuk cadangan mewajibkan setiap premis berlesen menggaji sekurang-kurangnya seorang penyembelih halal bertauliah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata cadangan itu bertujuan menyelaraskan penguatkuasaan, memastikan pematuhan piawaian sembelihan halal dan menjaga mutu bekalan ayam di negeri itu.
Memetik Bernama, beliau berkata sebanyak 60 rumah sembelihan ayam di Selangor mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala 149 premis lain mempunyai penyembelih halal bertauliah tetapi tidak memiliki lesen PBT.
Menurutnya, pelesenan premis terletak di bawah bidang kuasa PBT, manakala urusan sembelihan halal dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Beliau berkata pemeriksaan PBT turut mengenal pasti lima rumah sembelihan di Subang Jaya dan Kuala Langat yang beroperasi tanpa lesen serta tidak mempunyai penyembelih halal bertauliah. Tindakan penguatkuasaan, termasuk sitaan, telah diambil terhadap premis terbabit.
Bercakap pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mohammad Fahmi berkata beliau memahami kebimbangan orang ramai dan menegaskan penguatkuasaan diperlukan bagi memastikan bekalan ayam kepada penduduk bersih dan halal.
Selangor menggunakan purata 500,000 ekor ayam sehari. Kira-kira 57 peratus daripada keperluan ayam hidup itu dibekalkan oleh pengeluar dalam negeri, manakala selebihnya dibawa masuk dari negeri lain untuk disembelih di Selangor.
Sebelum ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor mengarahkan PBT mengambil tindakan segera terhadap pengusaha rumah sembelihan ayam tanpa lesen.



