HomeUtamaPAC panggil KKR, JKR Sabah siasat projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1...

PAC panggil KKR, JKR Sabah siasat projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 pada 25 Nov ini

Read Time:1 Minute, 54 Second

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding siasatan berhubung pengurusan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 pada 25 November ini.

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding pertama itu akan melibatkan pemanggilan saksi utama daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Menurutnya, tindakan itu susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 berhubung pengurusan projek berkenaan, khususnya membabitkan jajaran yang mengalami status projek sakit dan kelewatan pelaksanaan.

Beliau berkata, PAC sebelum ini mengadakan sesi perbincangan selama satu jam setengah bersama lima Ahli Parlimen Sabah pada 18 November bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkembangan projek itu di lapangan.

“Lima Ahli Parlimen Sabah yang dijemput adalah berdasarkan prestasi kemajuan kerja fizikal paling kritikal sepanjang jajaran projek yang mengalami status projek sakit dan juga lewat.

“Melalui sesi perbincangan semalam, PAC menerima maklum balas yang amat baik dan terperinci daripada kelima-lima Ahli Parlimen Sabah berkaitan situasi sebenar yang sedang berlaku di lapangan,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Lima Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Dr Mohamad Yusof Abdal (Lahad Datu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Panglima Madius Tangau (Tuaran), Datuk Siti Aminah Aching (Beaufort) dan Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Kota Belud).

Mas Ermieyati berkata, mereka berkongsi keadaan di tapak pembinaan, masalah harian yang terpaksa ditanggung rakyat serta ancaman keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya akibat projek yang tertangguh terlalu lama.

Jelasnya, maklumat itu membantu PAC memahami dengan lebih mendalam punca permasalahan sebelum memanggil saksi berkaitan untuk memberikan keterangan.

“PAC akan memanggil pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek ini untuk memberikan keterangan, termasuk pegawai dan pihak yang pernah berkhidmat sejak projek ini mula dirancang.

“Buat julung kalinya, PAC juga menjemput PAC Negeri Sabah untuk bersama menyertai prosiding sepanjang siasatan berhubung isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PAC tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran tatacara kewangan atau unsur salah guna kuasa serta memastikan pihak yang bertanggungjawab tidak terlepas daripada dipertanggungjawabkan.

Katanya, wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merupakan ahli ex-officio PAC turut hadir dalam prosiding berkenaan.

“PAC memohon kerjasama penuh daripada pihak SPRM untuk bersama-sama meneliti segala fakta dan keterangan sepanjang prosiding dijalankan.

“PAC akan terus merujuk sebarang penemuan salah laku kepada tindakan penguat kuasa undang-undang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cacing-cacing kepanasan UMNO, semua hilang akal’ kata Tony Pua Dalam Hantaran...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular