HomeUtamaJulita santuni mangsa kebakaran, salur bantuan kepada 11 keluarga

Julita santuni mangsa kebakaran, salur bantuan kepada 11 keluarga

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA MARUDU: Seramai 11 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Telupid Baru menerima bantuan semasa lawatan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, di Dewan Kampung Talantang 1 di sini, hari ini.

Julita melawat mangsa kebakaran di Dewan Kampung Talantang 1.

Setiap ketua isi rumah menerima bantuan tunai RM500 bagi membantu pembelian keperluan persekolahan, selain pakaian dan kasut sekolah disalurkan kepada 10 keluarga yang mempunyai anak bersekolah.

Bantuan itu melengkapkan bantuan awal yang telah disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa susulan kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Julita berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga yang sedang melalui saat sukar serta membantu mereka memulakan semula kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.

“Kerajaan mungkin tidak dapat menggantikan segala yang hilang, namun kita akan terus membantu setakat yang termampu agar keluarga yang terjejas dapat bangkit semula dan menyusun kembali kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa tidak berasa bersendirian dan terus menerima perhatian serta bantuan sewajarnya sepanjang proses pemulihan.

“Kehilangan tempat tinggal bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Namun saya percaya dengan semangat setiap keluarga serta sokongan daripada pelbagai pihak, mereka mampu melalui tempoh ini dan bangkit semula sedikit demi sedikit,” katanya.

Julita turut merakamkan penghargaan kepada JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta semua pihak yang menghulurkan bantuan sejak hari pertama kejadian.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus memantau kebajikan semua mangsa sehingga proses pemulihan selesai.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Henry Idol; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bandau, Julita Dalinsi; Pegawai Pembangunan Masyarakat Tandek, Joseh Vung Nyuk Chin; Pegawai Kebajikan Daerah Kota Marudu, Mizan Ahmad; dan Ketua Daerah Tandek, OKK Elui Majingkin.

RELATED ARTICLES
Utama

JPN Sabah ambil tindakan segera insiden murid terjatuh di sekolah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular