HomeUtamaPeguam gesa langkah pencegahan susulan insiden baharu pelajar jatuh

Peguam gesa langkah pencegahan susulan insiden baharu pelajar jatuh

Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Insiden membabitkan seorang pelajar perempuan yang dilaporkan terjatuh di sekolah sama dengan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mencetuskan kebimbangan dan gesaan supaya pihak berkaitan bertindak lebih proaktif.

Peguam Datuk Ram Singh berkata, amat menyedihkan apabila satu lagi insiden berlaku berlaku sebelum inkues kematian Zara selesai.

Beliau turut menyifatkan kejadian itu menunjukkan perlunya Mahkamah Koroner mempertimbangkan pengeluaran garis panduan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Sempena ulang tahun pertama kematian Zara dan satu lagi insiden yang berlaku dua hari lalu di sekolah yang sama, sudah tentu kami berasa sedih. Mengapa perkara itu boleh berlaku? Kita belum pun selesai dengan inkues ini, namun satu lagi insiden dikatakan berlaku di sekolah yang sama. Ia juga dilaporkan media membabitkan seorang pelajar perempuan.

“Jadi, saya berharap inkues ini bukan sahaja menentukan punca kematian, malah Koroner dapat melangkah lebih jauh dengan mempertimbangkan pengeluaran garis panduan mengenai mengapa atau bagaimana kejadian itu berlaku.

“Nampaknya ia semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar. Kini terdapat begitu banyak kes kanak-kanak dilaporkan ‘terjun’ dari bangunan,” katanya sambil menambah insiden terbaru itu berlaku di Tingkat 1.

Beliau turut menggesa pihak sekolah mengambil langkah lebih proaktif serta mempersoalkan mengapa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) hanya mengeluarkan kenyataan dua hari selepas insiden terbaru itu berlaku.

“Saya berharap pihak sekolah mengambil langkah yang lebih proaktif atau mengeluarkan pekeliling.

“Saya tidak faham mengapa JPN hanya mengeluarkan kenyataan selepas dua hari. Jika benar-benar prihatin, keluarkan sahaja kenyataan secepat mungkin.

“Saya juga berharap pelajar itu menerima kaunseling yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, peguam Shahlan Jufri berharap siasatan menyeluruh dijalankan berhubung insiden membabitkan seorang pelajar perempuan di sekolah sama dengan Zara.

Shahlan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu, sebaliknya menegaskan siasatan perlu dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Kami pun baru dapat tahu sebab masing-masing sibuk dengan inkues. Kami baru dimaklumkan ada kejadian yang dikatakan berlaku di sekolah yang sama dengan Zara.

“Saya tidak mahu komen lebih, cuma berharap siasatan dapat dijalankan mengikut prosedur yang biasa,” katanya.

Ram bersama peguam Joan Goh dan Elmer Ganasan mewakili Pelajar A.

Manakala Shahlan bersama Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan guaman ibu Zara hargai Koroner adakan satu minit tafakur

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular