HomeUtamaPasukan guaman ibu Zara hargai Koroner adakan satu minit tafakur

Pasukan guaman ibu Zara hargai Koroner adakan satu minit tafakur

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pasukan guaman yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir merakamkan penghargaan kepada Mahkamah Koroner kerana mengadakan satu minit bertafakur bagi memperingati ulang tahun pertama kematian remaja itu.

Peguam Shahlan Jufri berkata, ulang tahun pertama kematian Zara yang kebetulan berlangsung ketika prosiding inkues menjadikan hari itu agak sentimental buat pasukan guaman.

“Sempena satu tahun kematian Zara, agak sentimental bagi pasukan peguam Zara sebab genap setahun. Kebetulan pada masa yang sama kita ada prosiding inkues dan beberapa isu turut timbul sepanjang inkues.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Koroner kerana mengadakan satu minit bertafakur bagi memperingati ulang tahun Zara. Sangat-sangat berterima kasih,” katanya kepada media selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang minggu ini, dua saksi pakar iaitu Dr Noor Aishah Rosli dan Dr Wong Haw Huo dipanggil memberi keterangan bagi membantu Koroner dalam inkues kematian Zara.

Katanya, Dr Wong masih belum selesai memberi keterangan dan akan bersambung pada 24 hingga 28 Ogos.

Sementara itu pasukan guaman Pelajar A dalam sidang media berasingan berkata, penghormatan selama satu minit yang diadakan sebelum prosiding inkues bermula menunjukkan tanda hormat kepada Allahyarhamah Zara.

“Tadi kami bertafakur selama satu minit. Mereka yang bukan beragama Islam turut mengikut cara dan doa masing-masing di dalam mahkamah. Saya rasa Koroner mengingatkan kami mengenai perkara itu pagi ini dan ia adalah satu tanda penghormatan yang baik kepada Zara,” katanya.

Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.

Kematiannya, yang didakwa melibatkan unsur buli, telah mencetuskan desakan di seluruh negara agar langkah pencegahan buli diperkukuh dan akauntabiliti ditingkatkan.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap Zara. Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu kini masih berjalan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

RELATED ARTICLES
Utama

Infografik laporan tangkapan kes khianat tular adalah palsu – Polis Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular