TAWAU: Seorang penganggur yang mempunyai rekod jenayah ditahan selepas polis menemui lima paket dadah disyaki syabu seberat kira-kira 7.61 gram dalam sebuah kereta di Jalan Bunga, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku pada 6 Julai lalu, kira-kira jam 1.30 pagi apabila sepasukan Strike Team Balai Polis Tawau yang sedang menjalankan Op Ronda Cegah Jenayah mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan terbabit untuk pemeriksaan.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek yang berada bersendirian di dalam kenderaan itu menyerahkan dua paket plastik kecil mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu.
“Suspek kemudian mengeluarkan sebuah kotak yang disimpan di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelum menyerahkannya kepada polis.
“Pemeriksaan terhadap kotak itu menemukan tiga lagi paket plastik pelbagai saiz mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak lima paket dengan anggaran berat kasar 7.61 gram,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Semakan terhadap suspek yang merupakan penganggur berusia 30 tahun mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah, selain beberapa rekod kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah di daerah ini diminta menghubungi Hotline IPD Tawau di talian 089-772121 atau melalui balai polis berhampiran.



