HomeUtamaCubaan seludup petrol bersubsidi dipatahkan

Cubaan seludup petrol bersubsidi dipatahkan

Read Time:1 Minute, 42 Second

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi selepas menahan sebuah bot di perairan Sungai Sabine, petang Khamis.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, kejayaan itu adalah hasil rondaan dan pemantauan berterusan oleh Bot Peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.

“Bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.05 batu nautika di barat laut Sungai Sabine sebelum dipintas untuk pemeriksaan.

“Semasa pasukan operasi menghampiri bot itu, dua lelaki yang dipercayai kru bot bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelakkan diri daripada ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 18 jerican yang disyaki mengandungi minyak petrol bersubsidi dengan anggaran keseluruhan 360 liter. Turut ditemukan ialah dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 40 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut beliau, bot bersama muatan tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah.

“Selain itu, bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo,” katanya.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan bersama bot dianggarkan bernilai RM23,300 dan telah dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Suhairy berkata cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan pada waktu siang membuktikan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Penganggur ada rekod jenayah ditahan, syabu 7.61 gram dirampas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular